Hargailah keharmonian, keamanan dikecapi kini

0

KUCHING: Hargailah keharmonian dan keamanan dikecapi hingga hari ini meskipun hidup dalam berbilang kaum dan agama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata suasana itu hasil perpaduan kalangan rakyat walaupun berbeza latar belakang diamalkan sejak dahulu.

“Justeru itu, saya berharap jagalah perpaduan dengan sebaik-baiknya dan jangan mudah terpedaya dengan berita-berita palsu disiarkan di laman sosial yang boleh memecahbelahkan kita,” katanya pada majlis sungkei perdana dan penyampaian sumbangan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim dan warga emas serta penyerahan cek masjid dan surau di Surau Darussalam Kampung Tabuan Lot, di sini semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, tanpa perpaduan rakyat di negara ini tidak mungkin merasai suasana kehidupan yang selesa dan selamat.

“Kita lihat sahaja di negara luar sedang bergolak, rakyatnya hidup terkontang-kanting, berperang sana-sini yang banyak mengorbankan nyawa termasuk anak-anak dan golongan wanita.

“Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan suasana kehidupan aman dan damai kita nikmati hingga ke hari ini,” tambahnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan sumbangan kepada 200 penerima terdiri kalangan OKU, anak yatim dan warga emas melibatkan jumlah keseluruhan sejumlah RM10,000.

Hadir sama isterinya, Datin Feona Wan Junaidi, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh dan tetamu lain.