Iktiraf status Rh Banyau Nyumba

0

Rumah panjang 16 pintu dibina komuniti Iban setempat 38 tahun lalu

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Penduduk Rumah Banyau Nyumba di Kuala Baram berharap kerajaan dapat mengiktiraf rumah mereka yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu sebagai rumah panjang.

Tuai Rumah Banyau berkata, rumah sebanyak 16 pintu di situ dibina komuniti Iban dari kawasan berhampiran kira-kira 38 tahun lalu.

“Datuk saya Tuai Rumah Sangkap menyimpan hasrat agar rumah kami diberi status rumah panjang,” katanya sambil menambah beliau kemudian dipilih mengganti datuknya sebagai tuai rumah.

Banyau berkata demikian semasa lawatan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin kelmarin.

Rumah panjang Sangkap itu dinamakan sebagai Rh Banyau Nyumba, satu-satunya rumah panjang terdapat di Kuala Baram, kira-kira 10 minit mengguna perahu dari Kampung Masjid.

“Setakat ini terdapat 50 penduduk terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa bekerja di kilang papan, estet dan estet industri berhampiran di sekitar Kuala Baram manakala selebihnya bekerja sebagai nelayan,” katanya

Banyau menambah, penduduk di situ turut memohon agar estet berhampiran menghubung jalan raya sehingga ke rumah panjang memandangkan masa ini mereka bergantung dengan pengangkutan sungai.

Sementara itu, Lee berkata, beliau menghubungi wakil estet berkenaan dan mereka bersetuju untuk menyambungkan kawasan rumah panjang dengan jalan estet.

Mengenai permohonan status rasmi rumah panjang, Lee mencadang kepada Banyau dan jawatankuasa untuk menyenarai maklumat penting termasuk sejarah, jumlah penduduk dan saiz kawasan rumah untuk diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei serta pihak berkuasa berkaitan.

Semasa lawatan itu, Lee mengumum bantuan atap zink dan enam tangki air untuk kegunaan penduduk yang sebelum ini menggunakan air sungai dan air hujan untuk memasak dan keperluan lain.