Misi K9 SK Long Bedian terbantut kerana masalah sistem solar

0

MIRI: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bedian dipilih sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) pada 2011 sekali gus menjadi sekolah pertama negara ini dengan sistem panel solar, namun masalah bekalan elektrik sistem solar tidak menentu dan kerosakan jana kuasa menyukarkan 457 pelajar dan guru sekolah terbabit mencapai objektif pelaksanaan K9.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau berkata, masalah bekalan elektrik daripada sistem solar tidak menentu tersebut berlaku sejak Mei lalu.

“Sumber utama bekalan elektrik ke sekolah berkenaan melalui tenaga solar yang diguna sejak 2011 tanpa diselenggara,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Jelasnya, apabila cuaca panas dan cerah, sistem solar menjana tenaga membantu memberi bekalan elektrik kepada warga sekolah tersebut dan mampu bertahan sehingga ke jam 3 pagi sahaja.

Dennis menjelaskan, rata-rata ibu bapa mengadu kepadanya mengenai masalah berkenaan dan anak mereka terpaksa mengguna lampu suluh mandi pada jam 5 pagi.

Menurutnya, masalah akan timbul selepas jam 3 pagi kerana tenaga solar terpadam dengan sendirinya.

“Murid biasanya bangun pada jam 5 pagi, mereka terpaksa mengguna lampu suluh untuk mandi dan bersiap sedia ke sekolah,” katanya sambil menambah telah mengada pemeriksaan ke sekolah tersebut baru-baru ini.

Katanya, masalah yang sama dialami kakitangan sekolah yang menyedia sarapan murid kerana terpaksa bergantung kepada lampu suluh atau lilin membolehkan kerja mereka lancar.

Jelas Dennis, jika berterusan beliau bimbang dengan keselamatan murid asrama kerana masing-masing mereka masih kecil.

Katanya, sekolah berkenaan tidak mempunyai tenaga sokongan lain memandang tenaga jana kuasa telah rosak lebih setahun.

“Saya juga difaham, walaupun banyak aduan kepada pihak berkaitan melaku pemeriksaan dan penyelesaian masalah terbabit, namun masih tiada tindakan diambil.

“Sistem solar perlu diselenggara dan bateri perlu diganti dengan baharu, manakala jana kuasa perlu diperbaiki segera atau digantikan dengan yang baharu,” katanya.

Dennis menjelaskan, murid luar bandar tidak harus diabaikan kerana mereka juga mempunyai hak mendapatkan keperluan yang sempurna.

Justeru, beliau menggesa pihak berkaitan segera mengambil tindakan bagi membantu kesukaran yang dihadapi warga sekolah terbabit masa kini.

Sekolah terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar raya Miri di Apoh Baram mempunyai 494 murid dengan 457 daripadanya tinggal di asrama.