Rumput tiruan TigerTurf WETT Stadium Hoki mengikut standard

0
TERBAIK: Permukaan TigerTurf WETT di Stadium Hoki Sarawak, Jalan Padungan Kuching.

TERBAIK: Permukaan TigerTurf WETT di Stadium Hoki Sarawak, Jalan Padungan Kuching.

KUCHING: Rumput tiruan TigerTurf WETT yang digunakan di Stadium Hoki Sarawak, Jalan Padungan mengikut standard ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Agen tempatan TigerTurf, Sunny Eu mengendalikan Speedtrack Construction (E M) Sdn Bhd berkata jenama rumput tersebut digunakan sejak 2010 mendapat pengiktirafan FIH dan boleh digunakan untuk pertandingan antarabangsa.

Padang itu juga melepasi standard untuk menganjur temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII di Sarawak pada tahun depan.

Beliau menjelaskan, jenama TigerTurf – TigerTurf WETT dan jenama terkini TigerTurf WETT Pro – merupakan produk diluluskan berdasarkan senarai Produk Yang Diluluskan dan Pengedar/Pengeluar Rumput Tiruan Berlesan FIH yang diterbitkan pada Julai 2014.

Jenama TigerTurff Wett Pro juga dipasang di stadium hoki baharu Petra Jaya yang menjadi salah satu venue SUKMA XVIII dan padang hoki SMK Paku, Bau.

“Produk ini telah diuji oleh makmal diiktraf oleh FIH dan menepati standard yang diperlukan. Mereka yang hendak membuat penjelasan mengenai produk ini boleh melayari laman web FIH.

“Tarikh tamat tempoh diluluskan oleh FIH bagi produk TigerTurf WETT ialah pada 2017 manakala WETT Pro pada Jun 2016. Sebelum tamat tempoh, syarikat TigerTurf menghantar pembaharuan dan produk berkenaan diuji terlebih dahulu,” katanya semasa membuat pemeriksaan ke atas padang itu di sini.

Sunny membuat penjelasan tersebut selepas timbul dakwaan kononnya padang sintetik di Stadium Hoki Sarawak tidak mendapat pengiktirafan FIH dan tidak boleh digunakan menganjurkan SUKMA XVIII.

“Saya harap persatuan sukan terbabit di sini tidak hanya mendengar laporan yang tidak sahih. Tambahan pula amat merugikan untuk menukar rumput baharu kerana menelan kos tinggi dalam lingkungan RM1.3 juta,” tambahnya.

Beliau hairan bagaimana padang hoki yang mendapat pengiktirafan badan antarabangsa FIH masih dipersoalkan apabila digunakan menganjur SUKMA.

Katanya, konsep sama digunakan terhadap padang bola sepak dan olahraga di mana padang bola sepak perlu memenuhi standard Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala untuk olahraga mesti memenuhi kelayakan ditetapkan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Semasa melakukan pemeriksaan, Sunny berkata keadaan padang itu sangat baik meskipun tidak diselenggarakan dengan baik sejak dipasang lima tahun lalu.