Skuad DBKU bakal dirombak

0

Bagi menguatkan cabaran menghadapi Piala Datuk Amar Abang Johari 2015

Oleh Harry Ilias //

ROMBAK: Skuad DBKU bakal dirombak untuk menghadapi kempen Piala Datuk Amar Abang Johari 2015.

ROMBAK: Skuad DBKU bakal dirombak untuk menghadapi kempen Piala Datuk Amar Abang Johari 2015.

KUCHING: Skuad bola sepak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal dirombak untuk menghadapi saingan Piala Datuk Amar Abang Johari 2015 yang bermula pada 5 dan 6 September depan.

Ketua Jurulatihnya, Idris Untong berkata beliau bercadang untuk menyerapkan beberapa muka baharu bagi memperkuat semula skuad tersebut.

“Kita bercadang mengambil enam atau tujuh pemain baharu sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Datuk Amar Abang Johari,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, memandangkan penganjur menggunakan format umur terbuka maka pihaknya bercadang mengambil pemain senior dari DBKU sahaja.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemain dipilih memiliki kriteria diperlukan untuk memperkuat semula DBKU selepas mereka sekadar menamatkan saingan K-league iM 2015 di tangga kelima.

Idris yang juga bekas pemain Sarawak berharap kemasukan pemain-pemain baharu dapat mengembalikan semula kegemilangan DBKU dalam kancah kejohanan berprestij itu.

“Kita mensasarkan untuk melangkah ke final…kalau boleh muncul juara pada kejohanan ini.

“Jika impian tercapai, pemain- pemain berjaya mengulangi pencapaian yang dilakar pada 2011 pada ketika itu, DBKU turut muncul juara liga,” katanya.

Sejumlah lapan pasukan bakal berentap pada kempen Piala Datuk Amar Abang Johari.

Pasukan terbabit ialah FC Brooke, KKR Axis, JPAM SJN FC, Petra Giant, DBKU, Riaz FC, I.E.M FC dan Demak Laut FC.

Perlawanan diadakan secara kalah mati dengan empat pasukan terbaik akan bersaing dalam pusingan separuh akhir pada 12 dan 13 September.

Final akan diadakan pada 19 September di Stadium Negeri Kuching.