SOS Kids lawat beberapa pesakit sempena Ramadan

0

KUCHING: Sempena tema Ukhuwah Ramadan sepanjang bulan puasa ini, radio tempatan, Cats FM menyertai ahli Persatuan Kanak-kanak Sakit Kritikal (SOS Kids) melawat beberapa pesakit di Matang, Bako, Bintawa dan Telaga Air di sini.

Lawatan itu bertujuan memantau pesakitnya yang meneruskan rawatan di rumah masing-masing.

Dalam lawatan itu, SOS Kids turut membawa beberapa barangan keperluan seperti susu, lampin kanak-kanak dan makanan kering untuk disumbangkan kepada pesakit.

Semua kanak-kanak tersebut merupakan pesakit berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan mengalami penyakit sukar bernafas dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Lawatan tersebut diketuai Presiden SOS Kids, Lawrence Chang dan Dr Chor Yuk Kee dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang turut menjalankan pemeriksaan ke atas kanak-kanak terlibat.

Salah seorang pesakit dikenali Yazid, 7, mengalami masalah sukar bernafas iaitu ‘breathing throat’ manakala seorang lagi, Nur Ikmah Azira Zunaidi, 5, masalah jantung berlubang ketika bayi menghidap jangkitan paru-paru.

Dua lagi iaitu Rizman Bakri dan Phais Jahari, kedua-duanya lima tahun turut menderita penyakit paru-paru.

Keadaan Phais agak mencabar kerana rumah sewa keluarganya tidak mempunyai bekalan elektrik bagi alat bantuan pernafasan, namun dengan bantuan SOS Kids mereka berjaya menyelesaikan masalah itu.

Menurut Dr Chor, lawatan itu dilakukan empat bulan sekali.

SOS Kids juga menyediakan bekalan bantuan asas bulanan kepada beberapa kanak-kanak menghidap penyakit kritikal.

Memandangkan keadaan pesakit mereka kurang berkemampuan, SOS Kids turut membantu keluarga pesakit memperbaiki keadaan persekitaran di tempat tinggal mereka bagi memastikan ia sesuai untuk pesakit berkenaan meneruskan rawatan di rumah.

Pada lawatan itu, kru Cats FM turut menyumbang sumbangan berupa duit raya kepada kanak-kanak berkenaan dan hamper kepada setiap keluarga yang dikunjungi.