Bilangan graduan Dayak meningkat setiap tahun

0

SIBU: Bilangan graduan dalam kalangan masyarakat Dayak di negeri ini meningkat pada setiap tahun, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Bagaimanapun menurutnya, bilangan itu tidak seimbang kerana terdapat lebih ramai graduan wanita berbanding lelaki.

“Kita tidak menyalahkan lelaki Dayak kerana tidak cemerlang dalam akademik tetapi mereka banyak berjaya dalam bidang pendidikan vokasional atau teknikal dan memperolehi pendapatan tinggi.

“Melalui kejayaan itu, kaum Dayak boleh memainkan peranan lebih penting dalam membentuk masyarakat maju dan berkembang selari dengan masyarakat hari ini,” katanya.

Jabu berkata demikian pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2015 anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama ialah tiga Setiausaha Politik Ketua Menteri Isik Utau, Romeo Christopher Tegong dan Jenny Bangga, Setiausaha Agung SDNU Datuk Alice Jawan, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong dan Pengerusi SDNU Cawangan Sibu Tengku Gruna.

Pada yang sama, Jabu turut menyampaikan insentif pendidikan kepada seramai 27 penerima yang cemerlang dalam peperiksaan awam.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar memuji SDNU dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) atas usaha mereka menekankan kepentingan pendidikan di kalangan komuniti Dayak.

Beliau memberitahu dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak itu telah menyampaikan insentif pendidikan pada setiap tahun kepada pelajar-pelajar Dayak yang cemerlang dalam peperiksaan awam.

Katanya inisiatif sedemikian dapat menggalakkan serta merangsang lebih ramai pelajar untuk terus cemerlang dalam peperiksaan yang akan datang.

Bercakap mengenai perayaan Gawai, Jabu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, walaupun ramai komuniti Dayak tidak mengusahakan tanaman padi tetapi sambutan perayaan itu masih disambut sebagai melambangkan bangsa.

“Dalam konteks moden, Dayak boleh menggunakan Gawai untuk meraikan kejayaan mereka dalam pendidikan anak-anak mereka, kerjaya atau perniagaan,” jelasnya.

Dengan demikian tambahnya, masyarakat khususnya generasi muda dapat mengekalkan budaya dan tradisi mereka.