Jangan persoal kod etika pakaian di pejabat kerajaan

0

Biarlah bersopan semasa berurusan di kaunter awam

MUAR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim mengingatkan pihak tertentu termasuk pembangkang supaya tidak mempertikaikan kod etika pemakaian di pejabat kerajaan.

Beliau berkata perkara itu tidak wajar dipersoal atau dipolitikkan kerana tujuannya untuk memastikan warga negara ini bersopan, bermoral dan berdisiplin semasa berurusan di kaunter awam.

Kod etika berpakaian sedia ada bukan ditujukan untuk mana-mana kaum tetapi terpakai kepada semua dan isu itu tidak seharusnya diperbesarkan untuk meraih publisiti atau mempunyai kepentingan tertentu, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar di sini semalam.

“Pembangkang kalau tidak bersetuju mereka boleh memperkenalkan kod etika pemakaian itu (tidak sopan) di negeri diperintah mereka. Kita mahu melihat bolehkah orang awam memakai seluar pendek untuk berurusan atau untuk bertemu ketua menteri dan menteri besar mereka,” katanya

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa wanita termasuk wartawan dihalang memasuki bangunan kerajaan kerana tidak memakai pakaian sopan baru-baru ini.

Razali berpendapat tindakan itu adalah wajar dan sebagai cara mendidik kerana ketika ini tatacara berpakaian di pejabat kerajaan yang selaras dengan Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, masih kurang dipatuhi.

“Kalau tidak mahu mematuhi dan mengikut selera masing-masing, kita tidak mahu nanti ada yang datang ke pejabat kerajaan hanya memakai bikini atau boleh berbogel di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata tidak wajar kod etika berpakaian dilonggarkan hanya kerana beberapa pihak enggan mematuhinya lalu membuat kecoh di media sosial sedangkan berjuta rakyat negara ini tahu menghormatinya. — Bernama