Kanak-kanak golongan penerima bantuan kedua terbesar daripada JKM

0

KUCHING: Kanak-kanak merupakan golongan penerima bantuan kedua terbesar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu seramai 13,956 orang setakat Mei 2015.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, bilangan keseluruhan penerima bantuan JKM bagi tempoh yang sama ialah 56,869 orang.

Daripada jumlah itu katanya, warga emas merupakan penerima terbesar iaitu seramai 22,602 orang diikuti bantuan kanak-kanak dan bantuan am seramai 10,324 penerima.

Bantuan-bantuan lain termasuk bantuan orang kurang upaya (OKU) bekerja dan tidak bekerja masing-masing 2,844 dan 5,026 penerima, bantuan sakit terlantar seramai 2,100 orang penerima, anak peliharaan seramai 16 orang dan lain-lain seorang.

“Dari segi nilai bantuan paling besar ialah kanak-kanak iaitu RM100 bagi setiap kanak-kanak dengan maksimum RM450 sebulan dan bantuan ini sedang dilihat semula untuk tambahan oleh JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim anjuran Musyati Sdn Bhd dan rakaman langsung Best Eh Raya di REDfm di The Banquet di sini kelmarin.

Tambah Fatimah lagi, di Sarawak kita mempunyai dua institusi utama bagi anak-anak yatim di bawah JKM iaitu Rumah Kanak-Kanak Kuching di Batu 12 dan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol di Sri Aman.

Selain itu katanya, terdapat juga pusat-pusat lain bagi menempatkan anak-anak yatim, antaranya PERYATIM, Salvation Army Home dan banyak lagi.

Dalam pada itu, seramai 30 anak yatim daripada SK Pulo dijemput khas ke majlis itu untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan daripada Musyati Sdn Bhd  sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Manakala rakaman langsung ‘Best Eh Raya’ akan disiarkan pada Hari Raya Pertama, jam 2.00 petang di REDfm (Inggeris), Radio Malaysia SarawaK frekuensi 91.9 fm di Kuching.

Turut hadir, Pengarah Urusan Musyati Sdn Bhd Kamarulzaman Ahmad dan Timbalan Pengarah RTM Sarawak Jamel Seman.