Kes pasangan dera budak hingga mati disiasat

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meluahkan rasa kecewa terhadap pasangan yang dipercayai mendera serta menyebabkan kematian kanak-kanak, Bryan Yusuf berusia dua tahun dan lima bulan di kediaman mereka di Desa Pujut, Permyjaya, Miri.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya amat memandang serius akan perkara itu.

“Kementerian, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar pelindung bagi menyiasat kes.

“Siasatan awal mendapati bahawa kanak-kanak itu telah diserahkan kepada pasangan suspek oleh ibu kandungnya pada Disember tahun lepas.

“Kes ini turut berada dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Rohani menyeru kepada semua pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi institusi rumah anak angkat atau orang perseorangan yang ingin menyerahkan anak mereka kepada keluarga angkat agar menyelidik terlebih dahulu secara terperinci latar belakang pasangan yang ingin mengambil kanak-kanak tersebut.

Beliau meminta agar mereka yang benar-benar layak sahaja diberi kelulusan penjagaan bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang.

Kini JKM sedang berusaha mengesan ibu kandung kanak-kanak tersebut bagi tujuan tuntutan jenazah kanak-kanak di hospital untuk menyempurnakan proses pengebumiannya.