Ketua masyarakat berperanan bantu wakil rakyat

0

Mereka ialah mata, telinga kerajaan pastikan ketelusan pengurusan projek kerajaan: Unggah

Oleh Saleman Senin //

BETONG: Ketua masyarakat di sesuatu kawasan merupakan mata dan telinga kerajaan dalam memastikan ketelusan pengurusan sesuatu projek kerajaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar bagi pembangunan sesuatu kawasan termasuk Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan Projek Infrastruktur Awam (PIA), Projek Mesra Rakyat di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARIS).

“Setiap projek dilaksanakan itu perlu pemantauan telus agar tidak lari daripada peruntukan asal yang dihadkan untuk setiap pembinaan ditetapkan.

“Oleh itu, ketua masyarakat perlu memainkan peranan lebih tegas dalam membantu wakil rakyat meneliti pelaksanaan projek diperuntukkan di kawasan masing-masing agar tidak lari daripada kos yang ditetapkan.

“Spesifikasi tepat juga harus diambil kira dalam penentuan setiap pelaksanaan projek berkaitan,” katanya.

Untuk memastikan ketelusan kontraktor dilantik, ketua masyarakat perlu melihat spesifikasi tepat dengan meminta spesifikasi kerja-kerja pelaksanaan dengan Pejabat Residen bagi mengetahui kos dan kerja-kerja dilaksanakan.

Ketua masyarakat juga perlu menjadi pemantau projek-projek dijalankan dengan meneliti perkara tentang pelaksanaan.

“Jangan penduduk menyalahkan kerajaan tidak telus dalam pelaksanaan sesuatu projek dan hasrat murni kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan hasil daripada projek diberikan terbantut akibat pelaksanaan tidak telus,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Negeri, Geran Kerajaan Persekutuan Serta Kelulusan Projek Infrastruktur bagi kawasan Layar di Pejabat Residen Betong kelmarin.

Tambahnya, kerajaan menyediakan kos mencukupi untuk setiap projek ditetapkan tetapi jika keperluan bertambah sesuatu projek perlu menanti kelulusan permohonan seterusnya.

Dalam pada itu, sejumlah RM11.28 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk pelaksanaan projek-projek melibatkan penyambungan paip utama dari Lubau ke Betong, naik taraf jalan dari rumah ke rumah, membina baharu jalan akses utama, peruntukan tapak rumah panjang dan naik taraf jalan kubur.

Di samping itu, MRP turut disampaikan kepada 27 penerima berjumlah keseluruhan RM1.85 juta.