Pantau kehadiran orang baharu

0

KK, JKKK perlu terus komited jayakan kawasan keselamatan di kampung

SEMPORNA: Pemimpin setempat perlu terus memainkan peranan untuk memastikan kejayaan kawalan keselamatan peringkat kampung.

Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Ketua Kampung (KK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lebih mengenali dan mahir tentang kedatangan orang baharu di kawasan mereka perlu bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan pentadbiran daerah dengan melaporkan aktiviti mereka.

“KK dan JKKK perlu terus memainkan peranan mereka untuk menjaga keselamatan di kawasan mereka di mana pengawalan orang baharu dan menghuni di kampung perlu dipantau dan melaporkannya sekiranya meragui kegiatan mereka,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan dan pasukan keselamatan agar apa sahaja kegiatan yang meragukan dapat dibendung terutama sekali aktiviti pencerobohan sempadan negara.

Shafie berkata demikian ketika ditemui media selepas berucap pada  Majlis Jalinan Kasih Ramadan 2015 yang diadakan di Dewan Masyarakat Semporna, dekat sini kelmarin.

Shafie yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua Bahagian UMNO  Semporna ketika berucap berkata, penambahbaikan yang bersesuaian dengan keadaan di daerah ini perlu dilihat sebagai langkah memastikan tahap keselamatan Semporna terkawal.

Ini termasuklah alternatif penempatan pasukan kawalan di pos kawalan di pulau-pulau atau di kawasan strategik yang dikenal pasti agar penugasan pegawai dan pasukan keselamatan lebih teratur tanpa perlu berulang-alik setiap hari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna turut menggesa semua lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam mengatasi masalah sampah-sarap di daerah itu.

“Kalau kita mempunyai kesedaran dan melaksanakan peranan masing-masing, masalah sampah pasti dapat diselesaikan kerana sampah bukanlah satu-satunya kerja Majlis Daerah sebaliknya setiap individu perlu peka dan bertanggungjawab dengan pengurusan sampah masing-masing,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran, Naib Ketua Bahagian Datuk Dr Jaujan Sembakong, Setiausaha Bahagian Abd Rashid Maamun, Ketua Pergerakan Pemuda bahagian Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Zakiah Kalipunya.