Penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong terus menikmati pembangunan

0

GEDONG: Penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong akan terus menikmati pembangunan hasil kerjasama erat pemimpin di peringkat akar umbi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pada tahun ini beberapa projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan hasil daripada bengkel fasa kedua yang diadakan bersama pemimpin-pemimpin akar umbi di kawasan tersebut.

“Projek-projek ini melibatkan anggaran jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 juta untuk pembangunan di kawasan ini di bawah projek kecil luar bandar (MRP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Khatamal Al-Quran dan penyampaian sumbangan raya kepada 571 penerima terdiri daripada kalangan warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di sini semalam.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menjelaskan antara projek itu, naik taraf Surau Darul Ibadah, Kampung Lalang Tengah, bina baharu gelanggang gasing Kampung Gedong, naik taraf gelanggang serba guna Kampung Lalang Mayak Gedong dan naik taraf jeti seberang Kampung Gumpey.

“Saya juga ingin berkongsi maklumat tentang projek naik taraf Jalan Samarahan-Ensengei-Lubok Punggor-Gumpey sepanjang 28 kilometer yang akan dinaik taraf kepada jalan berturap yang mana proses tender akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Apabila siap kelak, saya yakin aktiviti ekonomi di kawasan berdekatan juga akan berkembang dan Insya-Allah, dengan kerjasama erat antara kita di bawah peruntukan Belanjawan 2015 dan Rancangan Malaysia Ke-11 nanti, lebih banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan,” tambahnya.

Selain itu, Nancy berharap kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan dapat diperhebatkan dalam menganjurkan program khususnya melibatkan penyertaan golongan belia.

“Kerjasama erat dalam menganjurkan sesuatu program dapat memberi impak yang tinggi kepada golongan sasaran kerana dengan pembabitan agensi-agensi kerajaan dan NGO, program yang bersifat mendekati rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya.