Pihak berkuasa bersihkan pokok tumbang di sekitar ibu negeri

0

KOTA KINABALU: Kejadian angin ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan ibu negeri sekitar pagi kelmarin mengakibatkan beberapa kawasan terjejas dengan insiden pokok tumbang di sini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam adalah Ribut Tropika Kuat Linfa menyebabkan angin kencang dan ombak yang mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di perairan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin sewaktu dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon di beberapa kawasan sekitar ibu negeri dan sebahagian besar adalah aduan mengenai pokok tumbang.

Beliau berkata, setakat jam 3 petang kelmarin, PGO menerima tujuh panggilan mengenai aduan pokok tumbang dan salah satu daripadanya ialah aduan pokok tumbang yang menghempap sebuah rumah di Kampung Likas, di sini.

Tambahnya, pihaknya juga menerima aduan di beberapa kawasan lain termasuklah Penampang, Tuaran dan Lintas.

“Seramai 30 anggota keseluruhan dari Balai Bomba Likas, Tuaran, Lintas, Penampang dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bukan itu sahaja, anggota yang sedang ke lokasi terpaksa melakukan operasi pembersihan di beberapa kawasan lain jika berlakunya pokok tumbang semasa dalam perjalanan yang mana tidak direkodkan dalam pusat gerakan,” katanya.

Sementara itu, bagi kontraktor Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) Fedrain Frangkie, 28, berkata, pihaknya menerima panggilan pokok tumbang di kawasan Kampung Tanjung Aru Baru yang menjejaskan bekalan elektrik di kawasan sekitar.

“Kami memulakan operasi pemotongan dahan pokok yang tumbang dan menghempap wayar elektrik dan merosakkan tiang elektrik dengan memotong batang kayu serta daun kelapa yang berada berdekatan dengan wayar.

“Operasi ini bermula sekitar jam 11 pagi (kelmarin) dan bekalan elektrik di kawasan sekitar Kampung Tanjung Aru Baru terpaksa dipadamkan buat sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beberapa kerosakan dilihat di kawasan ibu negeri akibat ribut dan hujan lebat kelmarin termasuklah zink di kawasan pembinaan tercabut, papan iklan rebah serta bumbung di beberapa rumah papan turut tercabut.