Wanita patah kaki jatuh bangunan

0

KUCHING: Seorang wanita Indonesia cedera parah dan patah kedua-dua kaki selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Ban Hock di sini, semalam.

Wanita berusia 23 tahun itu yang dipercayai pekerja di sebuah kelab malam di bangunan berkenaan dikatakan cuba membunuh diri.

Kejadian yang berlaku pada sekitar jam 2.30 petang itu telah disedari orang ramai yang melalui kawasan tersebut dan juga rakan sekerja wanita berkenaan.

Ketika ditemui, dia mengalami pendarahan yang teruk.

Rakan wanita berkenaan kemudian segera membawanya ke hospital dan dia telah dimasukkan ke zon merah untuk menerima rawatan.

Wanita terbabit juga dikatakan sering tertekan dan telah beberapa kali melakukan cubaan membunuh diri.

Polis masih menyiasat kejadian.