Dadah: Wanita antara lima ditahan polis

0

MIRI: Seorang wanita antara lima ditahan polis kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Kesemua suspek berusia 23 hingga 33 tahun  itu diberkas polis hasil serbuan di sebuah gerai menjual makanan dan minuman di Simpang Ngu Batu Niah di sini.

Berikutan tangkapan itu, semua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman melakukan Ops Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Miri untuk membuat pemeriksaan di kawasan gerai, Simpang Ngu Batu Niah.

Hasil pemeriksaan, mereka menahan sembilan lelaki dan seorang wanita untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan lanjut polis tidak menemui apa-apa menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, mereka dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati hanya empat lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis amphetamine.

Berikutan itu, kelima-lima suspek ditangkap mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala lima yang lain dibebaskan kemudian.