Gempa: Infrastruktur, aset awam rosak sekitar RM94.8j

0

61 masjid, sekolah, hospital dan ibu pejabat polis rosak

KOTA KINABALU: Gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun lalu telah menyebabkan kerosakan infrastruktur dan aset awam ditaksirkan bernilai RM94.8 juta, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata nilai kerosakan yang ditaksirkan itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Kerja Raya negeri meliputi kerosakan 61 bangunan termasuk masjid, sekolah, hospital dan ibu pejabat polis Ranau.

Katanya, kerosakan itu turut melibatkan 22 batang jalan raya (tiga jalan persekutuan dan 19 jalan negeri), sebuah jambatan dan sebanyak 22 cerun (tiga cerun persekutuan dan 19 cerun negeri).

“Kesemua kerosakan adalah di daerah terbabit gempa, termasuk Ranau dan Kota Belud,” katanya yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred M. Bumburing (PKR-Tamparuli) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Mengulas lanjut, Teo berkata setakat ini 14 rumah disahkan tidak selamat untuk didiami di daerah Kota Belud dan Ranau.

“Selain sejumlah 136 rumah di Kota Belud dan 268 rumah di Ranau mengalami kerosakan kecil dan sederhana. Justeru kerajaan akan menetapkan satu kadar yang wajar untuk bantuan rumah mengikut tahap kerosakan yang disahkan oleh Pegawai Daerah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, satu pelan yang komprehensif sedang dirangka oleh kerajaan negeri dan persekutuan bagi menyedarkan peri penting pengetahuan mengenai gempa bumi.

Katanya pelan itu merangkumi pemantauan berterusan agensi berkaitan, mengambil kira faktor gempa bumi dalam menyediakan setiap projek pembangunan dan pelan pembangunan, serta mensyaratkan perlindungan insurans kepada malim gunung dan para pendaki Gunung Kinabalu serta mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap gempa bumi.

Sementara itu, pihak kerajaan belum menerima laporan mengenai penyelewengan sumbangan berjumlah RM2.7 juta daripada kerajaan negeri lain, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan.

“Hal ini juga turut dipantau oleh pihak PDRM,” jelasnya. — Bernama