JKM sahkan terima beberapa laporan polis mengenai kes dera membabitkan kanak-kanak
Oleh Mastura Ismail //
LIMBANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan menerima beberapa laporan polis mengenai kes dera membabitkan kanak-kanak yang kini menjadi kes polis seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata kes dera kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku dan mereka harus diberi perlindungan sewajarnya.
Beliau yang enggan mendedahkan jumlah kes terbabit, menambah pihaknya tidak bertindak sendirian dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak malah menjalinkan kerjasama dengan beberapa jabatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami bekerjasama dan berhubung dengan polis terutama ketika menerima laporan daripada hospital sekiranya terdapat tanda-tanda keganasan ke atas badan mangsa dan mengesyaki berlakunya kes dera,” katanya ditemui pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2015 di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Pengarah JKM Negeri Mordiah Sulaiman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir dan Pemanca Alie Jahar.
Fatimah berkata JKM mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan penjagaan dan pemeliharaan sementara terhadap kanak-kanak mangsa dera sehingga kes terbabit selesai.
“Jika keadaan mangsa teruk, mereka akan ditempatkan di hospital sehingga keadaan pulih dan dibenarkan keluar hospital,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kanak-kanak perempuan menjadi mangsa dera ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Batu 12 Kuching manakala kanak-kanak lelaki 10 tahun ke atas ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol Sri Aman.
Katanya kanak-kanak mangsa dera perlu diberi perlindungan disebabkan umur dan keadaan fizikal mereka masih kecil selain tidak berdaya mempertahankan diri.
“Kes dera membabitkan kanak-kanak kebanyakannya disebabkan faktor kewangan, penagihan dadah dan pengaruh alkohol,” katanya.
Sementara itu, beliau mahu orang ramai berhati-hati terhadap individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai JKM untuk mengutip wang.
“Kes menipu adalah satu jenayah dan laporan polis akan dilakukan terhadap individu terbabit.
“JKM adalah agensi kerajaan membantu rakyat dan bukannya mengutip duit daripada orang ramai.
“Mereka yang was-was mengenai kehadiran individu mencurigakan perlu berhubung dengan pihak berwajib,” jelasnya.
Fatimah memberitahu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bercadang menambah nilai bantuan kepada penerima di bawah JKM sejajar dengan peningkatan kos sara hidup sekarang ini.
Antara bantuan disediakan JKM ialah bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua, elaun pekerja cacat, elaun penjagaan OKU, bantuan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan am dan bantuan anak pelihara.