JTK Sarawak periksa 2,689 tempat bekerja

0

Ia berhubung penguatkuasaan Akta Upah Minimum 2012 dalam 6 bulan pertama 2015

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak memeriksa 2,689 tempat bekerja di negeri ini berhubung penguatkuasaan Akta Upah Minimum 2012 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya August Buma berkata daripada jumlah tersebut didapati 52 majikan tidak mengikut perintah dikeluarkan.

“Kami mengeluarkan notis pematuhan kepada 44 majikan kerana tidak mematuhi perintah dan lapan kertas siasatan dengan tujuan pendakwaan di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja,” katanya apabila ditanya mengenai jumlah pemeriksaan di premis perniagaan sepanjang tahun ini dan taraf pematuhan majikan.

Menurutnya, daripada jumlah 52 kes tidak mematuhi perintah tersebut, 23 kes adalah industri hospitaliti iaitu sektor katering makanan dan hotel.

August mendedahkan bahawa pada tahun lalu JTK memeriksa 4,084 tempat bekerja bagi tujuan penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum 2012.

“Rekod kami menunjukkan daripada jumlah tersebut bagi tempat yang diperiksa, 74 majikan tidak mematuhi arahan.

“Notis pematuhan dike-luarkan kepada majikan dan jika mereka tidak mematuhi atau gagal membayar tunggakan gaji pekerja tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka,” katanya.

Pada tahun sama, 51 kes tuntutan di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 telah didengar di Mahkamah Buruh di sini.

Beliau mendedahkan, daripada 51 kes, 43 adalah daripada sektor pentadbiran dan perkhidmatan.

August menyatakan bahawa sejak kebelakangan ini sudah ada artikel dalam akhbar mengenai aduan mengenai pengawal keselamatan tidak dibayar gaji minimum berkanun dan faedah kewangan lain seperti diperuntukkan dalam Ordinan Buruh Sarawak.

“JTK menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak didapati melanggar Perintah Gaji Minimum 2012,” katanya.