Kes tembak perlu siasatan terperinci, telus, kata Tiong

0

Beliau percaya kes tembak di kaki lima sebuah pusat karaoke di Bintulu, berkaitan kongsi gelap tempatan

KUCHING: Siasatan terperinci dan telus harus dilakukan ke atas kes tembak yang mengakibatkan seorang lelaki Cina terbunuh dalam satu kejadian di kaki lima sebuah pusat karaoke di Pusat Komersial ParkCity Bintulu, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya semalam.

“Saya telah berbincang dengan ketua polis daerah Bintulu dan berharap polis mengambil tindakan berkesan untuk menangkap si pembunuh, supaya masyarakat Bintulu tidak lagi berasa risau dengan keamanan di sekitar mereka,” ujarnya.

Tiong yang juga presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) mengkritik suspek yang disifatkannya cuba mencabar undang-undang dengan menunjukkan kekuatan.

“Masalah mesti diselesaikan dengan saluran yang sesuai dan tidak melanggar undang-undang,” tegasnya.

Beliau juga percaya kemungkinan kes tembak berkenaan berkaitan dengan kongsi gelap tempatan.

Justeru beliau menyeru golongan berkenaan agar tidak melibatkan diri dalam salah laku haram.

Tambah Tiong lagi, beliau bersama polis dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemilik atau pengusaha pusat karaoke beroperasi secara haram termasuk pihak yang cuba menjalankan semula kegiatan mesin judi di sekitar Bintulu.

“Masyarakat Bintulu ingin tempat bermastautin yang aman damai, jadi saya menggesa supaya pihak-pihak berkenaan menarik diri daripada aktiviti kongsi gelap dan menjadi seseorang yang mematuhi undang-undang,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain katanya, beliau bersama BDA kerap menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai tindakan pemilik kedai yang mengubah suai atau beroperasi di kaki lima kedai tanpa kebenaran.

Kaki lima kedai ujarnya bukan milik pekedai, sekiranya berlaku kes kecemasan seperti kebakaran, ia amat berbahaya serta menyulitkan kerja-kerja menyelamat.

Oleh yang demikian beliau menyeru pemilik kedai berkenaan mematuhi peraturan jika tidak mahu diambil tindakan seperti disaman oleh BDA.