Pendengaran rayuan SPR: Cyrus, Ambiga wakili See, Pauls

0

KUCHING: Pakar undang-undang Datuk Dr Cyrus Das dan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan diberi lesen sementara untuk mewakili See Chee How dan Pauls Baya pada pendengaran rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 9 Julai ini di Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam, Datuk Yew Jen Kie selepas pendengaran penyerahan daripada See yang diwakili Das dan Ambiga, Presiden Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) Leonard Shim dan wakil Majlis Peguam Negara Dayang Jamilah Tun Salahuddin.

SPR sebelum ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penerbitan notis cadangan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di Sarawak oleh SPR.

“Saya berpuas hati dengan permohonan yang dibuat dan lesen sementara ini layak diberikan kepada kedua-dua pengamal undang-undang ini bagi rayuan ini di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sehingga penentuan terakhir permohonan kajian semula kehakiman,” kata Yew dalam penggulungannya semalam.

Sementara itu, See yang juga ADUN Batu Lintang berkata, keputusan untuk melantik Das dan Ambiga untuk mewakili beliau dan Pauls adalah kerana kes ini melibatkan tafsiran dan perbincangan Artikel 46, 113, 114 dan jadual 13, Perlembagaan Persekutuan yang agak sukar untuk beliau dan Pauls.

Sehubungan itu katanya, kehadiran Das dan Ambiga adalah penting untuk membentangkan kes yang baik dalam rayuan sivil ini.

“Sementara Dr Cyrus akan fokus ke atas tafsiran perlembagaan, Datuk Ambiga dengan pengalamannya dalam melobi untuk pilihan raya yang bersih dan adil menerusi BERSIH, adalah individu terbaik untuk memberi hujah terbaik,” katanya.

Rayuan sivil ini adalah unik kerana ia ada signifikan ke atas kuasa dan hak-hak SPR, kuasa dan hak-hak pengundi dan pelaksanaan pilihan raya yang diamalkan dalam negara.

Penasihat undang-undang negeri dan pegawai undang-undang negeri, Majlis Peguam Negara akan hadir  pada pendengaran Mahkamah Rayuan yang dijadual 9 Julai.