Rantai emas dilarikan wanita menyamar sebagai pelanggan

0

KUCHING: Pemilik kedai emas di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini mengalami kerugian apabila seutas rantai emas dilarikan seorang wanita yang menyamar sebagai pelanggan.

Dalam insiden sekitar jam 11 pagi kelmarin, kedai itu dikunjungi seorang wanita yang kononnya mahu melihat rantai emas.

Menurut sumber, wanita berkenaan membelek-belek rantai berkenaan sebelum berpura-pura bertanya kepada rakan lelakinya yang sedang menunggu di atas motosikal.

Dia bagaimanapun dikatakan terus meluru keluar dari kedai berkenaan dengan menaiki motosikal bersama barang kemas tersebut.

Pekerja kedai tidak sempat mengecam jenis motosikal atau nombor pendaftaran memandangkan kejadian berlaku dengan begitu pantas.

Nilai kerugian bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kerugian apabila jam tangan berjenama terkemuka bernilai hampir RM20,000 adalah antara barangan dilarikan dalam insiden pecah rumah di Jalan Bampfylde di sini.

Kejadian itu disedari oleh mangsa sekitar jam 8 pagi kelmarin apabila mendapati cermin tepi rumah telah dipecahkan.

Antara barangan lain dilarikan ialah beg berjenama terkemuka dan telefon bimbit.

Dalam kes berasingan, sebuah rumah persatuan kebajikan di Jalan Maxwell di sini turut menjadi sasaran pencuri.

Kejadian itu disedari kerani persatuan pagi semalam, apabila mendapati pejabat dalam keadaan berselerak.

Pencuri dipercayai masuk melalui tingkap berdasarkan kesan potong pada jeriji.

Difahamkan, wang tunai kira-kira RM1,000 dan kamera adalah antara barang yang dicuri.

Laporan-laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat.