Tokong berusia lebih seabad hampir ranap

0
SIASATAN: Pasukan forensik bomba meninjau kawasan tokong yang terbakar malam kelmarin.

SIASATAN: Pasukan forensik bomba meninjau kawasan tokong yang terbakar malam kelmarin.

KUCHING: Sebuah tokong Cina di Sungai Buah, Pasir Pandak di Santubong yang berusia lebih seabad hampir ranap dijilap api, malam kelmarin (Ahad).

Menurut bendahari jawatankuasa tokong berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Yii, dia bersama anaknya menghadiri jamuan kecil dan bersembahyang di rumah ibadat berkenaan sekitar jam 8 malam.

Ketika dalam perjalanan ke rumah, lelaki berusia 70 tahun itu tiba-tiba teringat mereka tertinggal sesuatu di kuil dan memutuskan untuk berpatah balik.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke kuil tersebut, kami ternampak api telah marak,” katanya sambil menambah mereka kemudiannya ke Balai Polis Santubong untuk membuat laporan polis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengerahkan dua jentera ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10 malam dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.

Kebakaran dipercayai bermula dari salah satu bilik di tokong berkenaan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, sebuah stor di bangunan kediaman di Markas Polis Marin di Jalan Bintawa terbakar, semalam.

Menurut jurucakap bomba, dua pegawai dan tujuh anggota dikerah ke tempat kejadian susulan menerima panggilan pada jam 2.35 petang.

Ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

Punca kebakaran masih disiasat.

SIASATAN: Pasukan forensik bomba meninjau kawasan tokong yang terbakar malam kelmarin.

SIASATAN: Pasukan forensik bomba meninjau kawasan tokong yang terbakar malam kelmarin.