Aidilfitri: KPDNKK Sarawak kerah 187 pegawai

0

Oleh Ambrose Rirang//

 

HARGA BERPATUTAN: Stanley (kanan) bersama pegawai KPDNKK yang lain melakukan pemeriksaan ke atas rak yang menjual daging dan ayam segar di Pasar Raya Sing Kwong,  semalam.

HARGA BERPATUTAN: Stanley (kanan) bersama pegawai KPDNKK yang lain melakukan pemeriksaan ke atas rak yang menjual daging dan ayam segar di Pasar Raya Sing Kwong, semalam.

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak telah mengerahkan 187 pegawai daripada sembilan cawangan kementerian terbabit di seluruh negeri bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang termasuk pemeriksaan dan pemantauan harga barangan terkawal sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa 2015.

Menurut Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan, SKHMP Hari Raya Puasa yang telah dilancarkan serentak di seluruh negara yang berkuat kuasa dari 7 hingga 23 Julai ini iaitu 10 hari sebelum perayaan dan enam hari selepas perayaan yang mana akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Bagi tujuan itu, pihak kami (KPDNKK Sarawak) telah mengerahkan pegawai-pegawai kami dari sembilan cawangan pejabat kementerian di seluruh negeri iaitu Limbang, Sarikei, Mukah, Bintulu, Sri Aman, Miri, Sibu, Kuching dan Kapit bagi melakukan pemantauan serta pemeriksaan di setiap premis niaga yang terdapat di kawasan masing-masing khususnya yang menjual barangan harga terkawal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sejurus selesai acara Pelancaran SKHMP Hari Raya Puasa Peringkat Ne-geri Sarawak yang diadakan di pekarangan Pasar Raya Sing Kwong, di sini pagi semalam.

Jelasnya, bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dijalankan dengan lancar, pihak KPDNKK Sarawak telah membekukan cuti semua pegawai kementerian berkenaan yang bukan Muslim sepanjang tempoh skim kawalan harga ini dilaksanakan kecuali kakitangan Muslim yang menyambut Hari Raya.

Katanya bagi perayaan Hari Raya tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan senarai 21 jenis barangan harga terkawal yang mana setiap barangan berkenaan wajib dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu.

“Secara umumnya, harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di sebanyak 89 daerah di Semenanjung Malaysia, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan yang mana harga maksimum telah ditetapkan oleh kementerian bagi mengelakkan para peniaga menaikkan harga barangan itu melebihi daripada kadar yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, setiap peniaga khususnya yang menjual barangan harga ter-kawal harus mematuhi semua peraturan atau garis panduan yang ditetapkan oleh KPDNKK supaya mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Bagaimanapun ujarnya, para peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut dengan kadar harga lebih rendah daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.

“Para peniaga turut diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim yang dijalankan di bawah akta kawalan harga ini yang mana boleh dikenakan penalti mengikut jenis kesala-han yang telah dilakukan,” jelasnya.

Beliau menambah kata, orang awam yang ingin membuat aduan mengenai peniaga yang tidak mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pelaksanaan SKHMP Hari Raya ini boleh menyalurkan aduan kepada One Call Centre di talian 03-8000 8000, talian bebas tol 1-800-886-800, e-mel ke alamat [email protected] atau SMS ke 1588 dengan menaip ‘KPDNKK ADUAN’.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A Rahim dan Pengurus Kanan (Bahagian Environmen) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wan Ibrahim Wan Ali antara yang hadir pada acara berkenaan.