KPDNKK Sarikei lancar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan

0

SARIKEI: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarikei melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa.

Timbalan Ketua Cawangan KPDNKK Sarikei Mohd Tamizi Mohd Amin berkata SKHMP berlangsung selama 17 hari bermula 7 Julai (semalam) hingga 23 Julai.

Terdapat 21 senarai barangan harga terkawal tersenarai dalam skim ini, iaitu ayam hidup RM7.80 sekilogram (kg), ayam standard (RM9/kg), ayam super (RM9.50/kg), daging lembu tempatan, daging lembu import (RM25/kg), daging kerbau import, telur ayam gred A (RM0.37 sebiji), telur ayam gred B (RM0.36 sebiji), telur ayam gred C (RM0.35 sebiji), cili merah (RM14/kg), tomato (RM7/kg), kubis bulat import (RM3/kg), kelapa parut (RM4/kg), kelapa biji, bawang merah kecil India RM8/kg), bawang besar import (RM4.50/kg), bawang putih China (RM6.50/kg), ubi kentang import (RM3.50/kg), ikan kembung termasuk ikan mambung (RM9/kg), ikan selayang (RM7/kg) dan ikan tongkol/aya.

“Semua harga barangan terkawal adalah untuk kawasan Sarikei, Julau, Pakan, Meradong, Matu dan Daro,” katanya ketika melancarkan SKHMP Hari Raya Puasa di Market Basah Sarikei semalam.

Justeru, dengan pelaksanaan skim itu semua peniaga diminta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada senarai barangan terbabit.

“Tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) terhadap bagi mana-mana peniaga yang gagal mematuhi perkara terbabit.

“Sementara itu, bagi pengguna yang mempunyai maklumat atau mempunyai sebarang aduan, mereka boleh menghubungi Pejabat KPDNKK Sarikei di talian 084 657751 (bilik gerakan) atau dengan menghantar e-mel ke [email protected],” katanya.

Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sarikei Lim Hock Ming serta beberapa kakitangan KPDNKK Sarikei.