Peniaga diingat agar pamer tanda harga berwarna merah jambu

0

SIBU: Peniaga sekali lagi diingatkan agar mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi semua 21 barangan kawalan yang telah ditetapkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya 2015, yang bermula 7 hingga 23 Julai ini.

Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu Kasim Mana berkata, peniaga tidak boleh menggunakan warna lain bagi mempamerkan tanda harga untuk barangan kawalan.

“Ini bagi memudahkan pengguna membezakan antara barangan yang dikawal dan sebaliknya,” ujarnya ketika dihubungi, kelmarin.

Kasim juga memberitahu, tindakan akan diambil ter-hadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 seperti menjual barang kawalan melebihi harga siling yang telah ditetapkan.

“Tindakan juga boleh diambil terhadap mereka yang gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga barang yang dijual,” jelasnya sambil menambah, skim kawalan harga itu turut merangkumi daerah Dalat, Mukah, Kanowit dan Selangau.

Ditanya mengenai bekalan barang untuk musim perayaan Hari Raya, Kasim memberitahu bahawa bekalan adalah mencukupi.

“Kami telah bertemu dengan pembekal utama, pemborong dan peruncit yang telah memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan bagi musim perayaan ini adalah mencukupi.

Sementara itu, 21 barang kawalan bagi musim perayaan Hari Raya tahun ini ialah ayam hidup (RM6.70/kg), ayam standard (RM8.50/kg), ayam super (RM9.50/kg), kambing import (RM25/kg), telur Gred A (RM0.35 sebiji), Gred B (RM0.34 sebiji), Gred C (RM0.33 sebiji), cili merah (RM14/kg), tomato (RM7/kg), kubis bulat import (RM3/kg), kelapa (RM5/kg), bawang merah (RM8/kg), bawang besar import (RM4/kg), halia (RM5/kg), kentang import (RM3/kg), ikan pelata (RM9/kg) dan ikan selayang (RM7/kg).