Sembilan pelajar Belaga di Politeknik Kuching terima biasiswa daripada TAB

0

KUCHING: Sembilan pelajar dari daerah Belaga yang melanjutkan pengajian di Politeknik Kuching, Matang di sini menerima tawaran biasiswa daripada Tabung Amanah Bakun (TAB) kelmarin.

Biasiswa berbentuk geran bantuan yang dibayar secara ‘one-off’ itu adalah khas untuk pelajar yang menerima kesan langsung daripada projek Empangan Bakun di daerah itu.

Pegawai Eksekutif TAB Romio Ding yang ditemui selepas penyampaian tawaran biasiswa di politeknik itu semalam berkata, tabung ini telah ditubuhkan pada 1996 selepas projek Empangan Bakun.

Sejak penubuhannya, TAB telah menawarkan biasiswa kepada lebih 2,500 pelajar Belaga dari peringkat sijil hingga ijazah sarjana di semua institusi pengajian tinggi awam dan awasta di seluruh negara.

“TAB diwujudkan oleh kerajaan negeri dan pusat bagi membantu meringankan beban pelajar-pelajar Belaga yang menerima kesan langsung daripada projek Empangan Bakun.

“Meskipun nilainya tidak besar, namun TAB berharap ia dapat membantu para pelajar dalam urusan pengajian sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda mahupun ijazah sarjana,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran biasiswa itu semalam, ia merupakan kesinambungan daripada lawatan dari kampus ke kampus TAB bagi mengesan dan membantu pelajar Belaga.

Bagi tahun ini, sehingga Jun 2015 lebih 100 permohonan bagi mendapatkan biasiswa diterima oleh TAB untuk kelulusan.

Syarat permohonan adalah mudah, di mana pelajar hanya perlu mengemukakan surat tawaran daripada IPTA atau IPTS untuk layak mendapatkan biasiswa ini.

Nilai biasiswa yang ditawarkan oleh TAB ialah RM1,000 hingga RM1,500 bagi pelajar peringkat sijil dan diploma dan RM2,000 hingga RM2,500 bagi pelajar ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Dalam pada itu, tawaran biasiswa itu semalam telah disampaikan oleh Pengarah Politeknik Kuching Sahul Hamid Abdul Wahab sambil disaksikan Romio, Timbalan Pengarah Annuar Dris dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Sharifah Siti Zuriani Wan Abdul Rahman.

Penerima biasiswa terdiri daripada Claudia Anthony Antong, Caroline Letiug, Rachel Ujang, Gabriel Thiong Yiew Ibong, Daniel Mering Ibong, Stefanie Kain, Leonard Kebing, Shabatini Telen Ding dan Florenica Aren Awing.