Wanita cari udang maut dibaham buaya

0
CARI: Penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa serangan buaya di Sungai Krian, Saratok.

CARI: Penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa serangan buaya di Sungai Krian, Saratok.

SARATOK: Seorang wanita sedang menangkap udang di Sungai Krian dekat sini maut setelah dipercayai menjadi serangan buaya petang kelmarin.

Mangsa, Bera Aun, 46, berasal dari Rumah Minggu, Krango Krian dipercayai diserang buaya pada jam 5.07 petang.

Sebaik sahaja mangsa dilaporkan hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dilancarkan.

Sekitar jam 6 petang, penduduk kampung yang menyertai operasi SAR menjumpai mayat mangsa lebih kurang satu kilometer dari lokasi mangsa diserang.

Terdapat beberapa kesan gigitan di bahagian pinggang mangsa dipercayai akibat dibaham buaya berkenaan.

Sejurus ditemui, mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk proses selanjutnya.

Serangan buaya sering dilaporkan berlaku di Sungai Krian dan anak sungainya yang terkenal sebagai tempat memancing udang.

Pada Jun tahun lepas, seorang remaja lelaki Telecson Ancharang, 13, terselamat daripada serangan reptilia itu sewaktu memancing udang bersama pakciknya Ngelambong Chundai di Sungai Supa, Senyawan, Krian.

Mangsa mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya.