SEDC antara yang terbaik di Malaysia: Ahmad

0

Mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM56 juta dan nilai aset sekitar RM1 bilion

Oleh Patricia Gari //

MEMBANGGAKAN: Ahmad (tengah) mempengerusikan sidang media sempena lawatan sulung beliau ke pejabat SEDC. Turut kelihatan Talib (kanan) dan Soedirman.

MEMBANGGAKAN: Ahmad (tengah) mempengerusikan sidang media sempena lawatan sulung beliau ke pejabat SEDC. Turut kelihatan Talib (kanan) dan Soedirman.

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM56 juta dan nilai aset sekitar RM1 bilion, menjadikannya antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) terbaik di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pencapaian SEDC adalah kejayaan yang sangat besar berbanding PKEN negeri lain.

“Sebagai lawatan sulung sebagai Timbalan Menteri Kewangan ke SEDC Sarawak, saya amat gembira melihat kejayaan-kejayaan yang dilaksanakan oleh perbadanan ini, sebagai contoh keuntungan sebelum cukai RM56 juta dan nilai aset lebih kurang RM1 bilion.

“Ini adalah antara kejayaan yang besar berbanding PKEN negeri lain,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SEDC dan mendengar taklimat pembangunan di Menara SEDC di sini semalam.

Menurutnya ketika ini SEDC sedang membangunkan tiga projek utama iaitu pembinaan sebuah hotel, jambatan pejalan kaki merentasi Sungai Sarawak (Jambatan Emas) dan selaku urus setia serta pengurus kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching.

Bagaimanapun katanya, SEDC serta PKEN yang lain perlu melaksanakan program transformasi bagi tujuan penstrukturan semula perbadaan itu termasuk anak-anak syarikatnya.

Justeru katanya, setiap PKEN perlu mewujudkan Jawatankuasa Transformasi PKEN yang akan berperanan menilai dan memantau segala program transformasi perbadanan berkenaan supaya hanya perniagaan yang membawa keuntungan dilaksanakan.

Selain itu, katanya program transformasi itu juga perlu mengkaji opsyen model perniagaan masing-masing supaya model yang menguntungan sahaja dilaksanakan.

“PKEN perlu menjana keuntungan berterusan, mana-mana anak syarikat yang tidak memuaskan atau rugi hendaklah diteliti dan keputusan mengenainya harus dibuat oleh PKEN negeri-negeri.

“Kementerian Kewangan juga telah memutuskan bahawa program transformasi itu perlu dilakukan di semua PKEN dan selaras dengan transformasi kerajaan.

“Itu antara keputusan dibuat hasil kajian dilakukan Ernst & Young,” katanya.

Menurut Ahmad, pada 2013 Ernst & Young menjalankan Kajian Pengukuhan dan Hala Tuju PKEN di seluruh negara dan hasilnya telah dibentangkan pada Majlis Kewangan Negeri pada 29 Jun lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dihadiri semua Menteri Besar termasuk Ketua Menteri Sarawak .

Mengulas lanjut mengenai SEDC, beliau berkata beberapa usaha dilaksanakan SEDC sebagai contoh transformasi dari segi staf dan organisasi dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif integriti.

“Itu adalah satu contoh yang mana beberapa PKEN lain datang ke Sarawak untuk mempelajari inisiatif integriti mereka (SEDC) lakukan…itu satu contoh transformasi yang boleh dilaksanakan oleh PKEN lain di seluruh negara,” katanya.

Penekanan kepada mentransformasi PKEN seluruh negara penting kepada kerajaan kerana berpendapat perbadanan yang berjaya boleh melonjakkan ekonomi negeri khasnya dan negara amnya.

“Oleh itu saya amat berharap Jawatankuasa Transformasi PKEN di setiap negeri dapat diwujudkan secepat mungkin demi kemajuan serta kelangsungan perbadanan itu.

“Kementerian Kewangan sentiasa memantau prestasi PKEN seluruh negara kerana daripada beberapa sudut ia di bawah kementerian ini selain di bawah kerajaan negeri masing-masing,” ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu Pengerusi SEDC merangkap Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini.