Rogol di tanah kubur

0

Remaja berusia 19 tahun ditahan, disyaki merogol budak perempuan

Oleh Michael Ubam //

TIDAK BERDAYA: Mangsa ketika tampil ke Balai Polis Sungai Merah, semalam.

TIDAK BERDAYA: Mangsa ketika tampil ke Balai Polis Sungai Merah, semalam.

SIBU: Polis menahan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun kerana disyaki merogol budak perempuan berusia 12 tahun di sebuah tanah perkuburan di Sungai Merah, malam kelmarin.

Suspek bekerja sebagai buruh, berbangsa Melanau ditahan di tempat kerjanya di sebuah gudang penyimpanan makanan di Jalan Dik Ling Kwong pada jam 2 petang semalam.

Bertindak atas maklumat, mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Parut koyakan lama pada kemaluan mangsa dikesan doktor mengukuhkan lagi dakwaan bahawa budak perempuan itu menjadi mangsa rogol.

Mangsa yang berumur 12 tahun 10 bulan berbangsa Iban tampil ke Balai Polis Sungai Merah tengah hari semalam.

Menurut laporan, insiden rogol tersebut berlaku di sebuah tanah perkuburan terletak di kawasan belakang sebuah sekolah di Sungai Merah sekitar jam 9 malam kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mencari seorang kakak di tempat kerjanya di sebuah kedai di Sungai Merah, namun kedai itu telah tutup.

Mangsa kemudian pergi ke sebuah taman permainan berdekatan untuk mencari kakaknya namun tiba-tiba terserempak dengan seorang lelaki yang dikenalinya seminggu sebelum itu.

Tanpa diduga, lelaki itu menarik tangannya dan membawa mangsa ke suatu tempat di kawasan belakang sebuah sekolah di situ tanpa memberitahu tujuan sebenar.

Menurut mangsa, apabila tiba di kawasan dipercayai tanah perkuburan, suspek membuka zip seluar jeans dan seluar dalam mangsa sebelum dia membuka seluarnya sendiri.

Ditemui di balai polis petang semalam, mangsa berkata dia tidak berdaya melawan kerana kedua-dua tangannya dipegang kuat ketika suspek merogolnya.

Tidak lama kemudian, katanya, ketika dia dalam keadaan separuh bogel bersama suspek, ibu dan abangnya muncul.

Menurut mangsa, suspek cuba dikejar oleh abangnya namun berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi petang semalam mengesahkan menerima laporan tersebut.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Pegawai penyiasat kes akan memohon perintah reman terhadap suspek esok (hari ini),” katanya.