Kementerian usaha dapat lebih banyak dana bina rumah ibadah

0

KUCHING: Kementerian Perumahan akan berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk membina rumah ibadah di kawasan perumahan di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kementeriannya kini berusaha memastikan setiap kawasan perumahan di bawah Skim Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mempunyai rumah ibadah.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan dalam RMK11 daripada kerajaan pusat untuk kita melaksanakan projek rumah ibadah di setiap kawasan perumahan di bawah HDC,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran HDC dan anak syarikatnya, Daya Builders Sdn Bhd (DBSB) bersama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Selain membina rumah ibadah, Menteri Pelancongan itu berkata, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di Muara Tuang dan Samariang.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan kepada 20 masjid dan surau di bawah skim HDC melibatkan jumlah keseluruhan RM10,000.

“Saya berharap sumbangan ini dapat digunakan untuk menjalankan aktiviti dan membantu pihak pengurusan masjid dan surau menguruskan tempat ibadah masing-masing,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan tetamu kehormat lain.