Jumlah parti komponen dalam BN masih empat

0

KUCHING: Jumlah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) masih kekal empat meskipun wujudnya dua parti baharu yang dikatakan telah diterima dalam BN.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai berkata, tiada parti baharu dalam komponen BN sehingga kini dan jumlahnya masih kekal empat iaitu SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Beliau menegaskan perkara itu pada Majlis Ulang Tahun Ke-31 SUPP Cawangan Pending di Crown Square di sini malam kelmarin.

Pada majlis itu, Tan Kai memanggil setiap wakil daripada parti komponen BN dari kawasan Pending iaitu PBB, PRS dan SPDP satu persatu.

“Mana wakil dari PBB Pending, PRS Pending dan SPDP Pending sila angkat tangan…ada parti komponen lain lagi kah? tidak ada, hanya empat sahaja parti komponen BN, tiada parti baharu dalam BN.

“Kalau ada parti baharu mereka perlu meminta persetujuan daripada kesemua parti komponen untuk menyertai BN,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Kenyataan Tan Kai itu menunjukkan SUPP masih lagi enggan menerima kewujudan dua parti baharu iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang diterima sebagai BN-Plus.

Malah, kenyataannya itu juga bercanggah dengan kemahuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengadakan lawatan ke Sarawak pada 4 Jun lalu yang menerima dua parti baharu itu sebagai BN-Plus.

“Perkara yang paling utama sekali kita mesti bersatu…maknanya kalau kita tidak bersatu, kita boleh ditumbangkan. Betul tak?

“BN Sarawak, BN Sarawak Plus mesti bersatu. Kalau bersatu menang, gerenti menang, insya-Allah menang,” kata Najib ketika berucap di hadapan ribuan penyokong BN Sarawak dan BN Sarawak Plus pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, #Sarawakfornajib di Stadium Perpaduan 4 Jun lalu.