Pembinaan dewan serba guna RM2 juta untuk keperluan orang pekak

0

KOTA KINABALU: Pembinaan dewan serba guna di Bukit Padang bagi keperluan orang pekak Sabah memerlukan kos sebanyak RM2 juta.

Presiden Persatuan Orang Pekak Sabah Francis Yong berkata, untuk itu pihaknya akan mengadakan satu majlis makan amal untuk mengumpul dana terbabit yang diadakan sempena ulang tahun ke-40 persatuan itu pada 5 September ini.

Bertemakan ‘40 years of Journey Together’ Francis berkata, malam amal itu akan diadakan di Dewan Hakka, Tanjung Lipat.

“Justeru, pihak kami menyasarkan dana sebanyak RM200,000 menerusi penjualan sebanyak 100 meja dengan penjualan tiket berharga RM3,000  dan RM2,000 untuk semeja bagi meja VIP dan RM1,000 untuk meja biasa.

“Kami berharap sektor korporat seperti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang ramai akan menyokong program ini menerusi pembelian tiket amal dan juga pengiklanan di majalah persatuan ini,” katanya kepada sidang media mengenai majlis makan amal itu di WK Restaurant, Jalan Bundusan, kelmarin.

Menurut Francis, tapak bagi pembinaan dewan yang akan dibina di kawasan sebelum Pusat Pendidikan yang berhampiran dengan Kuil Hindu di Bukit Padang itu telah disumbangkan oleh Kumpulan Kinsabina pada tahun lalu.

“Jika kita berjaya memperolehi separuh daripada dana yang diperlukan, kerja-kerja pembinaan sudah boleh dimulakan,” katanya sambil menambah bahawa pihak yang memberikan sumbangan kepada persatuan ini akan dikecualikan daripada cukai.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan negeri akan memberikan peruntukan khas bagi tujuan pembinaan dewan ini yang bakal memanfaatkan kepada orang pekak di Sabah.

Pada malam amal itu, selain penganugerahan pelajar pekak, tetamu bakal dihiburkan dengan persembahan pelajar pekak dari Pusat Pendidikan, SK Pendidikan Khas dan SMK Datuk Peter Mojuntin dan juga persembahan dari ahli ‘Tawau Happy Dancing Centre’ yang diketuai oleh Yen Shuk Kyen.

Dijangka hadir menyempurnakan majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat persatuan ini di talian 088-230894 atau Pengerusi Penganjur, Bernard Tonduba 019-5875219 dan Francis, 013-8603001.