5 maut, 7 parah

2

Dua van bertembung di Kilometer 24, Jalan Pesisir Pantai (Bintulu-Samalaju), semalam

Oleh Ambrose Rirang //

BERTEMBUNG: Penumpang terselamat cuba mengeluarkan rakan mereka yang tersepit di celah-celah van sementara menunggu bantuan kecemasan.

BERTEMBUNG: Penumpang terselamat cuba mengeluarkan rakan mereka yang tersepit di celah-celah van sementara menunggu bantuan kecemasan.

REMUK: Keadaan salah sebuah van yang terlibat dalam pertembungan, mengalami remuk teruk di bahagian hadapan.

REMUK: Keadaan salah sebuah van yang terlibat dalam pertembungan, mengalami remuk teruk di bahagian hadapan.

BINTULU: Lima maut dan tujuh parah apabila dua van bertembung di Kilometer 24, Jalan Pesisir Pantai (Bintulu-Samalaju) sekitar jam 7 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Lim Kwai Seng ketika mengesahkan kejadian berkata, van jenis Nissan dinaiki 10 orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari bandar Bintulu menuju ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP) sebelum bertembung dengan van jenis Toyota dari arah bertentangan.

“Difahamkan sejurus sampai di selekoh  Kilometer 24, van jenis Nissan yang membawa 10 penumpang masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van jenis Toyota dinaiki dua penumpang,” katanya.

Beliau menjelaskan, impak kuat pertembungan itu mengakibatkan pemandu van Toyota dari arah Samalaju, Wong Sing Sung, 50, dan penumpangnya, Tiang Ming Chuo, 46, maut di tempat kejadian.

Pemandu van Nissan Johnny Yek, 24, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala tiga penumpang yang merupakan warga China, Huang Chong Jun, 46, Lu Tao, 46, dan Zhou Geng Liang, 45, turut terbunuh.

“Enam lagi penumpang dalam van sama juga warga China iaitu Liu Zheng Zhong, 37, Liu Gang, 40, Tan Gui Weng, 48, Ding Yuan Kui, 42, Li Xian Sheng, 36, dan Li Hui Long, 47, dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu,” ujarnya.

Beliau berkata, buat masa sekarang pihaknya masih  menjalankan siasatan terperinci berhubung punca sebenar kemalangan mengorbankan ramai nyawa itu.

Jelasnya, sebarang spekulasi berhubung kemalangan itu adalah amat ditegah kerana  ia boleh mengganggu proses penyiasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.