PBDS Baru akan perluas pengaruh ke pinggir bandar, bandar

0

KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) akan memperluaskan pengaruhnya ke kawasan pinggir bandar dan bandar Sarawak.

Ahli Majlis Tertinggi PBDS Baru Cobbold John berkata keputusan itu dibuat selepas parti mengkaji semula trend penduduk Dayak di luar bandar yang ramai berhijrah ke bandar-bandar utama mencari peluang pekerjaan.

Parti itu juga katanya, dalam usaha mengambil ahli baharu kerana menurutnya anggaran kasar kira-kira 10,000 penyokongnya di seluruh negeri terdiri daripada profesional muda, lelaki dan wanita yang berminat menyertai perjuangan parti itu.

Ditanya kerusi yang diintai oleh parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Cobbold berkata ia masih belum diputuskan lagi kerana kerusi-kerusi dipilih bergantung kepada keputusan dibuat JPPR dan jumlah calon juga belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, kami berminat merampas semula kerusi-kerusi yang pernah menjadi milik kami sebelum ini iaitu Simanggang, Bukit Begunan, Balai Ringin, Tasik Biru, Opar dan Bengoh,” katanya ketika ditemui Sabtu lalu.

Justeru ujarnya, PBDS Baru menubuhkan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya di bawah kepimpinan Presidennya Louis Jarau pada mesyuarat parti sebelum ini.

Menurut beliau peranan utama jawatankuasa itu ialah mengenal pasti calon berpotensi yang akan bertanding menggunakan tiket parti itu di kawasan majoriti Dayak.

“PBDS (Baru) adalah parti politik Dayak dan berharap menjadi tulang belakang untuk menyelesaikan perjuangan umum dalam situasi politik yang semakin mencabar yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

PBDS Baru juga katanya, akan mewujudkan hubungan dengan beberapa kumpulan politik tempatan, malah mewujudkan kerjasama kepentingan antara satu sama lain.

Kerjasama  itu jelasnya, bertujuan mempromosi dan menonjolkan tuntutan lebih banyak autonomi dalam pembangunan ekonomi termasuk infrastruktur, perdagangan dan perniagaan, pendidikan serta biasiswa.

“Pengagihan hasil ekonomi yang adil juga akan diperjuangkan tanpa sikap berat sebelah walaupun penekanan akan diberikan kepada golongan kurang bernasib baik yang jumlahnya menunjukkan peningkatan di Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, katanya parti mengiktiraf usaha-usaha dilakukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menuntut lebih banyak pembahagian keuntungan daripada kerajaan persekutuan seperti menambah royalti minyak dan gas untuk mempercepatkan program pembangunan di Sarawak.

PBDS Baru tambahnya, juga menyokong kenyataan daripada pelbagai pihak yang mengatakan kaum Dayak perlu diberi layanan adil dan saksama dalam penempatan pekerjaan, berkongsi projek-projek gergasi baharu seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan pengagihan lesen serta kontrak dan peluang-peluang lain.

PBDS ditubuhkan pada 1983, dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2004 dan kemudiannya diwujudkan semula dan pendaftarannya sebagai PBDS Baru diluluskan pada November 2013.