Utamakan keselamatan pelancong

0

Kamarlin nasihat pemandu bas pelancongan memandu secara berhemah

HIJAU DAN BERSIH: Kamarlin menanam pokok sebagai simbolik merasmikan program ‘1Malaysia Green 1Malaysia Clean’ pada majlis itu.

HIJAU DAN BERSIH: Kamarlin menanam pokok sebagai simbolik merasmikan program ‘1Malaysia Green 1Malaysia Clean’ pada majlis itu.

BEAUFORT: Setiap pemandu bas pelancongan di negeri ini diminta memandu secara berhemah dengan mengutamakan aspek keselamatan ketika pemanduan sepanjang masa, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Selain memastikan penumpang selamat sampai ke destinasi dituju, langkah itu juga bertujuan menjaga imej pengusaha pelancongan serta reputasi pemandu bas pelancongan itu sendiri.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, aspek keselamatan perlu diberi penekanan berikutan sejak kebelakangan ini terdapat segelintir pemandu bas yang memandu secara berbahaya dan tidak berdisiplin.

Katanya, sikap mementingkan diri sendiri oleh segelintir pemandu bas bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

“Sehingga hari ini banyak aduan telah kami terima daripada orang awam berhubung cara pemanduan bas dan van pelancongan.

“Kebanyakan aduan diterima melibatkan pemandu bas pelancongan yang tidak memiliki permit sah dikenali sebagai ‘van putih’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Penduduk Kampung Luagan di Masjid Luagan, di sini.

Hadir sama, Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) Cawangan Sabah Awang Ahmad Zaki Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Cawangan Sabah Sani Sham Ahmad dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Abdul Rahman Omar.

Kamarlin turut meminta pengusaha terlibat agar tidak menggunakan khidmat van putih walaupun perkhidmatan mereka lebih murah berbanding van atau bas persiaran kerana ia berisiko besar sekiranya berlaku kemalangan.

“Jika berlaku perkara tidak diingini, pelancong terbabit tidak akan dapat menuntut insurans yang disediakan untuk mereka berikutan kedudukan van haram ini yang tidak memiliki permit sah.

“Situasi ini sudah tentu akan menjejaskan industri pelancongan kita terutamanya jika kemalangan itu melibatkan pelancong asing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa dan agensi kerajaan berkaitan supaya memantau masalah berkenaan termasuk kerap mengadakan operasi bagi membendung kegiatan van putih.

Sementara itu, Awang Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan operasi mengejut di setiap kawasan tumpuan pelancongan yang terdapat di negeri ini bagi memastikan kegiatan haram van putih dapat dibendung.

“Pihak kami akan membuat operasi dalam masa terdekat ini berhubung kegiatan van putih termasuklah pemeriksaan terhadap pengusaha pelancongan yang tidak memiliki lesen sah untuk beroperasi.

“Bagi tujuan itu, daerah Beaufort dan sekitarnya akan menjadi lokasi pertama operasi ini berikutan kawasan itu sering menjadi tumpuan pengunjung khususnya pelancong dari negara luar,” katanya.