GP Bandaraya KL dijangka tarik 150,000 penonton

0

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Grand Prix (GP) Bandaraya Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini dijangka menarik 150,000 peminat sukan permotoran.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata persiapan trek sepanjang 3.2 km berjalan lancar dan ia bakal memberi pengalaman berbeza berbanding perlumbaan di Litar Sepang.

“Litar ini akan siap mengikut jadual pada 31 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebahagian daripada trek di sekitar ibu kota semalam.

GP Bandaraya KL adalah festival perlumbaan kereta Supersports di litar yang direka khas di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur dan dianjurkan oleh GT Global Race dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Sepang International Circuit (SIC).

Acara itu bakal menyaksikan perlumbaan kereta GT, Piala Lamborghini Super, Formula Masters, Piala Porsche Carrera dan Piala Audi R8 LMS selain pertunjukkan lima pasukan terbaik siri perlumbaan V8 Supercars.

Perlumbaan itu bermula dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan melalui Jalan P.Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Pinang dan tamat di KLCC. — Bernama