Pertahankan kesatuan, Adenan Satem ingatkan rakyat Sarawak

0

KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan untuk bersama-sama mempertahankan semangat kesatuan yang menjadi benteng kekuatan mereka selama ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam perutusan Hari Rayanya hari ini, menegaskan tiada untungnya mereka berpecah belah danmementingkan diri atau puak sendiri.

“Sejarah Sarawak diwarnai pelbagai kejayaan sejak semangat kesatuan menjadi pegangan semua pihak merentasi agama dan bangsa,” katanya.

Menurut Adenan, ia terbukti menerusi bulan Ramadan dan Syawal yang boleh kaum Muslim kongsikan dengan pelbagai agama dan bangsa.

“Kita mampu untuk “sungkei” atau berbuka puasa bersama di masjid tanpa rasa kekok walaupun masjid adalah tempat suci bagi orang Islam. Semua dialu-alukan atas nama kesatuan rakyat Sarawak yang mengatasi segalanya,”

Bila tiba Hari Raya, katanya, ia diraikan bersama tanpa perlu bersikap eksklusif.

“Sikap bersama dalam merayakan hari perayaan adalah rahsia kestabilan Sarawak selama ini dan kita harus pertahankannya,”

Adenan juga mengulangi komitmen kerajaan Negeri untuk terus memberi perhatian kepada usaha mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.

“Tambahan RM500 juta kepada bajet 2015 negeri ini diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada April lepas.

“Ini adalah untuk melaksanakan pelbagai projek prasarana dan kemudahan di kawasan luar bandar demi manfaat dan keselesaan masyarakat kita yang berada jauh dari pusat bandar,”katanya.

Menyentuh mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo yang berharga lebih RM10 bilion dan akan menghubungkan lebih 1,000 kilometer antara Sematan dan Lawas, Adenan berkata rakyat Sarawak penuh yakin ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat penghubung.

Malah ia juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi bagi kawasan sepanjang lebuh raya itu yang dijangka siap pada tahun 2017.

Beliau turut memohon kepada rakyat Sarawak untuk diberi peluang lagi memimpin negeri ini pada masa hadapan.

“Dalam tempoh setahun lebih saya diberi amanah menjadi Ketua Menteri, banyak langkah yang telah diambil untuk kepentingan dan keselesaan rakyat.

“Saya yakin banyak lagi yang boleh dilakukan untuk membantu meringankan beban rakyat jika diberi peluang sekali lagi,”katanya.

Adenan juga berkata usaha untuk menghapuskan pembalakan haram, mencegah kemasukan pendatang tanpa izin dan lain-lain akan sentiasa dijalankan demi kepentingan rakyat dan negeri Sarawak. -Bernama