Empat atlet Special Olympics Sarawak kibar cabaran negara di Los Angeles

0
UNTUK NEGARA: (Depan dari kiri) Ruhana, Nur Nadhirah, Mariani, Sharifah Saidatul dan Fatimah beraksi dengan Jalur Gemilang sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

UNTUK NEGARA: (Depan dari kiri) Ruhana, Nur Nadhirah, Mariani, Sharifah Saidatul dan Fatimah beraksi dengan Jalur Gemilang sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

KUCHING: Empat atlet Special Olympics dari Sarawak bakal mengibarkan cabaran kontinjen negara pada Sukan Musim Panas Special Olympics 2015 di Los Angeles bermula 25 Julai hingga 2 Ogos.

Empat atlet berkenaan iaitu dua dari Kuching dan masing- masing seorang dari Sibu dan Miri menyertai seramai 36 atlet lain dari Sabah, Labuan, Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Dua atlet dari Kuching, Sharifah Saidatul Nuramira Awangku Abdul Malik mewakili negara dalam larian 800 meter dan 1,500 meter sementara Nur Nadhirah Syamsol bertanding dalam larian 100 meter dan 200 meter.

Manakala bagi dua atlet dari Sibu dan Miri masing-masing akan bersaing dalam acara boling dan renang.

Delegasi berkenaan berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini semalam diiringi Pengerusi Special Olympics Cabang Kuching, Datin Dayang Mariani Abang Zain dan jurulatihnya, Ruhana Bujang sebelum menyertai atlet lain di Kuala Lumpur berlepas ke Los Angeles.

Keberangkatan pasukan itu dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang juga Presiden Special Olympics Sarawak.

Mariani yang juga timbalan ‘chef-de-mission’ ketika ditemui berkata, kontinjen Malaysia terdiri seramai 41 atlet, jurulatih serta pegawai dan akan bertanding dalam acara bola sepak, kayak, golf, equastrian serta acara padang serta trek.

“Ini penyertaan kali ketiga Sarawak dan kali terakhir adalah di Athens namun bagi Sukan Musim Sejuk Special Olympics diadakan pada 2017 di mana kali terakhir penyertaan adalah di Korea.

“Bagaimanapun, kami mahu mengucapkan terima kasih kepada badan-badan korporat yang menyumbang dengan menaja pasukan kita bukan sahaja untuk atlet Sarawak tetapi seluruh pasukan Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, tanpa sokongan melalui tajaan badan korporat berkenaan mereka tidak mampu dan berpeluang ke peringkat antarabangsa.

Menurut Mariani, lingkungan umur yang layak menyertai sukan berkenaan adalah pada usia sembilan hingga 54 tahun.