OKU mampu ‘goncang’ dunia

0

Oleh Jessica Jawing/

KUCHING: Ibu bapa digalakkan untuk mendaftar anak mereka kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai ahli Olimpik Khas membolehkan mereka bukan sahaja menyertai pertandingan sukan antarabangsa tetapi mendapat pelbagai kemudahan.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata pelbagai program ditawarkan di bawah Olimpik Khas kepada kanak-kanak istimewa termasuk ‘Program Atlet Sihat’.

“Kita menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka sebagai ahli Olimpik Khas kerana Olimpik Khas Sarawak Cabang Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu mempunyai bilangan ahli masih kecil.

“Kita menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftar anak sebagai ahli bukan sahaja kerana mereka berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa, tetapi kemudahan lain di bawah Olimpik Khas menawarkan pelbagai program,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui ketika menghantar kontinjen Olimpik Khas Malaysia dari Sarawak berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai Sukan Olimpik Khas Dunia 2015 di Los Angeles, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini semalam.

Menurut Fatimah, Olimpik Khas adalah satu peluang bagi kanak-kanak menyertai sukan iaitu cabaran mental kepada mereka dan menawarkan kemudahan lebih kepada bersifat antarabangsa berbanding di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Beliau yang juga Presiden Olimpik Khas Sarawak berkata, sehingga kini seluruh Sarawak sebanyak 44 buah PDK berbanding dengan aspek pendaftaran sebagai ahli Olimpik Khas yang belum ramai.

“Di Olimpik Khas Cabang Kuching dianggarkan lebih 200 orang ahli dan saya percaya begitu juga Cabang Sibu dan Miri berada dalam lingkungan sama sementara Bintulu agak kurang memadangkan masih baharu ditubuhkan,” katanya.

Beliau memberitahu, melalui sekolah khas pendidikan khas dan integrasi di sekolah sama ada bagi sekolah rendah atau menengah boleh dipupuk dan berharap guru-guru bersama menggalakkan anak-anak khas terlibat dalam Olimpik Khas.

Fatimah menegaskan, adalah amat penting kepada ibu bapa mendaftar anak-anak OKU mereka ke sekolah khas bagi merebut peluang disediakan kerajaan sama seperti kanakkanak normal lain.

“Jika dahulu ibu bapa berasa malu mengetengahkan anakanak mereka namun sekarang masa sudah berubdah dan kerajaan memberi peluang kepada anak-anak itu dalam pendidikan, pertubuhan yang diwujudkan serta kemudahan di peringkat komuniti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Olimpik Khas Cabang Kuching Datin Dayang Mariani Abang Zain berkata setakat ini ahli Olimpik Khas yang ada terdiri daripada mereka mengalami masalah pembelajaran, autisme dan ‘sindrom down’.

“Sebenarnya kebanyakan mereka menjadi ahli adalah kategori ‘sindrom down’ namun di Sarawak masih belum ramai kerana kita belum ada jaringan kerjasama dengan mereka ini.

“Sebagai langkah, kita akan mendekati PDK yang sedia ada untuk menggalakkan lebih ramai mendaftar sebagai ahli di kalangan mereka (anak-anak istimewa),” katanya.