Kelantan gagal manfaat peluang

0

KOTA BAHARU: Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan tercorot, Sime Darby FC pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini malam kelmarin.

Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Amiridzwan Taj Tajudin yang menolak masuk bola hasil hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 apabila Nemanja Vidakovic mudah menanduk masuk bola menerusi hantaran Marko Perovic dan keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua permainan, Sime Darby FC berjaya mendahului pasukan Kelantan menerusi jaringan Reinaldo Da Costa pada minit ke-50.

Penyerang import dari Brazil, Gilmar Da Silva menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72, bagi memastikan mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata.  — Bernama