Lebih 700 pelajar sertai Hari Alam Sekitar Institut Sinaran

0

KOTA KINABALU: Lebih 700 pelajar daripada 21 sekolah menengah sekitar Sabah telah menyertai Hari Alam Sekitar anjuran Institut Sinaran.

Diadakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, Institut Sinaran turut mengadakan pameran bertemakan ‘7 Billion Dreams. One Planet. Consume with Care’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar.

Pengerusi Lembaga Pentadbiran Institut Sinaran Fong Tet Kong berkata, semua masyarakat perlu bekerjasama bagi memastikan kesejahteraan serta kemapanan alam sekitar yang berterusan.

“Kita harus bersama-sama membantu mengurangkan pencemaran, menjimatkan penggunaan sumber di samping mengurangkan lagi impak negatif terhadap alam sekitar.

“Usaha ini penting bagi memastikan kestabilan dan kemapanan alam sekitar berterusan pada masa hadapan khususnya di Sabah,” katanya ketika majlis penutupan Hari Alam Sekitar Institut Sinaran, di sini kelmarin.

Fong berkata, Sabah juga dalam usaha mencari penyelesaian yang terbaik bagi mencapai tahap kelestarian serta penggunaan sumber yang cekap.

“Kita juga berbesar hati kerana begitu banyak usaha yang dilakukan dalam pengurusan sumber yang cekap sebagai contoh, kini terdapat empat juta hektar kawasan hutan, bakau, marin dan rizab hidupan liar serta kawasan perlindungan di Sabah yang diurus dengan baik,” katanya.

Sementara itu, sempena Hari Alam Sekitar itu, tiga pertandingan turut diadakan iaitu ‘Eco- Challenge Game’ yang melibatkan isu-isu alam sekitar, ‘YB Minister! We have something to tell you’ dan pertandingan penghasilan video mengenai kesedaran terhadap alam sekitar.

Pada pertandingan Eco-Challenge, SM All Saints berjaya merebut gelaran juara, manakala naib johan dimenangi oleh SM Kian Kok, dan Tshung Tsin di tempat ketiga.

Sementara itu, penghasilan video dimenangi oleh Muhd Umar dari SMK Kota Marudu yang bertajuk ‘Save Our Earth’, naib johan dimenangi oleh Trio Click dari St Francis Convent dan tempat ketiga, Bryan Soo dari SMK Kota Marudu dengan tajuk ‘World Environmental Day’.

Bagi pertandingan ‘YB Minister!’, tempat pertama dimenangi oleh St Francis Convent, tempat kedua Maktab Nasional dan tempat ketiga SM St John Tuaran.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sinaran, Wiliam Pan dan tetamu kehormat yang lain.