PBT diharap anjur kejohanan bola sepak di peringkat konstituensi masing-masing

0

KUCHING: Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini diharap untuk menganjurkan kejohanan bola sepak di peringkat konstituensi masing-masing sebagai antara usaha menyumbang kepada mutu sukan bola sepak negeri ini.

Pengerusi Penganjur Liga Jemputan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Wadel Boyod berkata setakat ini usaha tersebut dilaksanakan oleh MPP sejak 12 tahun lalu dan jika turut dilakukan PBT lain maka lebih ramai pemain berbakat dapat ditonjolkan.

“Melalui penganjuran kejohanan bola sepak lebih banyak, kita dapat mengenal pasti pemain khususnya pemain- pemain muda berbakat untuk diserapkan ke dalam sebuah pasukan.

“Mungkin pemain-pemain ini juga mampu melangkah lebih jauh untuk mewakili pasukan negeri pada satu hari kelak,” katanya ditemui pada perasmian Liga Jemputan MPP 2015 oleh Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Tarat, Datuk Roland Sagah di Kompleks Sukan Padawan di Siburan dekat sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MPP Dr Zaiedi Suhaili, Setiausaha MPP Andrew Joris Noyen, Penasihat Liga Jemputan MPP 2015, Edward Kurik dan timbalan pengerusi pengelola Liga Jemputan MPP 2015, Zainudin Morshidi.

Mengulas mengenai Liga Jemputan MPP 2015, Wadel berkata ia menyaksikan penyertaan sebanyak 40 pasukan daripada kelab-kelab bola sepak seluruh Kuching, Samarahan, Serian dan Padawan.

Beliau turut menjangkakan kejohanan kali ini begitu sengit kerana kebanyakan pasukan menggunakan khidmat pemain import dari Nigeria, England serta Indonesia dan juga bekas pemain-pemain negeri seperti Ramles Sari dan Ramos Sari.

“Sambutan daripada pasukan sangat menggalakkan pada tahun ini dan saya yakin perlawanan setiap pasukan lebih sengit,” katanya sambil menambah jumlah pasukan yang bertanding tahun ini meningkat daripada 32 pasukan pada tahun lalu.

Ekoran itu, beliau berkata pihaknya akan menambahkan penyertaan kepada 48 pasukan bagi kejohanan pada tahun depan.

Liga Jemputan MPP 2015 dijadual berlangsung sehingga 11 Oktober nanti.

Juara bakal membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM3,000 termasuk piala dan pingat manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,500 serta piala dan pingat.

Hadiah wang tunai RM500 turut disediakan kepada pasukan ‘Fair Play’ dan penjaring terbanyak akan menerima piala kasut emas.