Pelihara bahasa etnik daripada pupus: Dompok

0

KOTA KINABALU: Usaha menghasilkan bahan bacaan dan rujukan termasuk novel dalam bahasa Kadazandusun akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bahasa etnik itu tidak pupus ditelan zaman.

Pengasas Yayasan Pendidikan Indep (IEF), Tan Sri Bernard Dompok berkata, beliau yakin pertandingan penulisan novel dalam bahasa Kadazandusun mampu memperkasa penggunaan bahasa itu yang kini terpaksa bersaing dengan bahasa-bahasa lain.

“Saya gembira kerana Anugerah Kesusasteraan Kadazandusun (penulisan novel) yang diadakan buat kali kedua mendapat sambutan menggalakkan dan berharap lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.

“Tidak cukup dengan sekadar menguasai pertuturan dalam bahasa ibunda kita tetapi usaha memperbanyakkan bahan bacaaan bahasa Kadazandusun harus dilipatgandakan agar para pelajar di sekolah dan institut pengajian tinggi yang menawarkan pengajaran bahasa itu mempunyai bahan rujukan dan bacaan yang mencukupi.

“Sehubungan itu, pertandingan ini diadakan untuk memastikan bahasa kita terus terpelihara seterusnya memartabatkan dan memperkasakan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa ilmu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kesusteraan Kadazandusun Kali Ke-2 di sini, pada malam Jumaat lalu.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun dan para pemimpin masyarakat Kadazandusun.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) berkata, untuk memulihara sesuatu budaya bukan senang, begitu juga dengan budaya serta bahasa Kadazandusun kerana kanak-kanak pada masa kini terpaksa bersaing dengan realiti dunia luar untuk belajar bahasa etnik.

Katanya, bahasa Kadazandusun mungkin akan pupus sekiranya masyarakatnya sendiri tidak berusaha memuliharanya. Pada masa kini, kanak-kanak atau generasi muda lebih terdedah dengan penggunaan bahasa lain yang digunakan di sekeliling mereka.

“Bagaimanapun ibu bapa tidak seharusnya berasa bersalah kerana, inilah realiti dan cabaran kita untuk terus mengekalkan budaya dan bahasa kita agar terus terpelihara dan dapat diwarisi generasi akan datang.

“Bahasa Kadazandusun dianggap tidak ‘bernilai’ kerana ia tidak dapat digunakan dalam urusan perniagaan global atau dalam jabatan-jabatan kerajaan.

“Ini menyebabkan penggunaan bahasa itu tidak menggalakkan berbanding penggunaan bahasa-bahasa lain yang digunakan dalam perniagaan dan urusan seharian di jabatan-jabatan kerajaan.

“Oleh itu bagi memelihara penggunaan bahasa etnik, penutur atau masyarakat Kadazandusun sendiri seharusnya menggalakkan anak-anak mereka supaya bertutur dan mempelajari bahasa mereka agar tidak pupus ditelan zaman.

“Ini penting kerana apabila bahasa kita hilang, maka hilanglah identiti dan budaya kita di dunia,” katanya.

Dompok turut berterima kasih kepada Masidi kerana kementeriannya meluluskan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk menjayakan pertandingan itu pada tahun akan datang.

Sementara itu pengerusi bersama pertandingan itu, Datuk John Malud berkata, seramai 21 orang menyertai pertandingan itu berbanding 16 orang pada kali pertama tahun 2013.

“Kualiti penulisan juga semakin meningkat dan saya berharap penyertaan pada masa akan datang akan terus meningkat,” katanya.

Pertandingan itu dianjurkan Yayasan Pendidikan Indep, KLF dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Tempat pertama pertandingan menulis novel dalam bahasa Kadazandusun 2015 dimenangi oleh Wailin Ransidin Sambandor dari Kampung Sungoi Tuaran dengan karya ‘Rombituon Ko I Ginawo Ku’ (Kau Bintang Hatiku).

Beliau menerima Anugerah Sastera Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Tempat kedua dimenangi Colestar @Calista George Kiloh dari Labuan ‘Sundung Romou Ih Tumuru’ atau dalam bahasa Melayu ‘Walau Air Mata Mengalir’ menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan tempat ketiga Blasius Binjua dari Kampung Penapah Penampang dengan karya ‘Sumidang Mai i Tadau’ menerima RM2,000.