Bimbang keselamatan warga sekolah

0

PIBG, LPS SJK (C) Pai Wen rayu forensik JKR segerakan pengesahan status

PERLU PENGESAHAN: Rombongan turut melawat ke SMK Ranau untuk melihat sendiri kerosakan bangunan perumahan guru.

PERLU PENGESAHAN: Rombongan turut melawat ke SMK Ranau untuk melihat sendiri kerosakan bangunan perumahan guru.

RANAU: Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pembangunan Sekolah (LPS) SJK (C) Pai Wen merayu pihak forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya menyegerakan proses pengesahan status bangunan satu blok dua tingkat di sekolah itu yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang berlaku 5 Jun lalu, sama ada masih selamat digunakan atau sebaliknya.

Pengerusi PIBG Yap Sin Kian berkata, pihak PIBG dan LPS amat mengharapkan tindakan segera pihak forensik JKR bagi menentukan keadaan bangunan yang mengalami keretakan di semua bahagian yang menempatkan bilik-bilik darjah itu.

“Ia amat penting disegarakan sama ada bangunan itu masih selamat atau tidak digunakan sebagai tempat pentadbiran dan tempat murid belajar,” katanya.

Menurutnya, bimbang dengan keselamatan warga sekolah berikutan kerosakan yang berlaku pihak sekolah telah mengosongkan bangunan itu dan terpaksa memohon pihak Jabatan Pendidikan Negeri untuk membekalkan dua khemah berukuran 20×20 kaki dan sebuah lagi sumbangan PIBG untuk dijadikan kelas sementara.

“Pihak PIBG dan LPS serta warga sekolah merakamkan ucapan penghargaan atas bantuan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau termasuk juga para pelawat daripada kumpulan NGO kerana sudi menghulurkan sumbangan berupa kewangan untuk tabung pembangunan sekolah,” katanya.

Yap memaklumkan pihak sekolah dengan kerjasama pihak PIBG dan LPS bercadang membina beberapa bilik darjah sementara apabila  kewangan mencukupi.

“Sejak bencana gempa bumi pada 5 Jun lepas, pihak sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan kerana kekurangan bilik darjah. Menempatkan murid di dalam khemah memang tidak selesa kerana cuaca panas dan tidak ada kemudahan kipas.

“Sejak akhir-akhir ini, ramai rombongan daripada kumpulan NGO datang melawat sekolah ini sambil menghulurkan sumbangan namun sehingga hari ini belum mencukupi untuk membina kelas sementara.

“Justeru, pengesahan daripada forensik JKR terhadap status bangunan dua tingkat itu amat diperlukan, dan jika disahkan tidak lagi selamat diduduki, maka kita merayu pihak kementerian supaya membina semula bangunan yang baharu demi keselesaan dan keselamatan murud-murid,” katanya.

Tinjauan penulis ke daerah Ranau kelmarin mendapati selain bangunan dua tingkat di SJK (C) Pai Wen yang terjejas teruk akibat gempa bumi, ia juga melibatkan bangunan perumahan anggota PDRM IPD Ranau, bangunan perumahan Guru-Guru SMK Ranau dan perumahan kakitangan Hospital Ranau yang kini masih menunggu pengesahan daripada forensik JKR bagi menentukan sama ada bangunan-bangunan berkenaan masih selamat diduduki atau sebaliknya.

Baru-baru ini, serombongan lebih 40 pengarah dan penolong pengarah Jabatan Pendidikan negeri seluruh negara bersama para pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau datang melawat dan menyaksikan sendiri kerosakan bangunan-bangunan sekolah termasuk bangunan rumah guru di daerah berkenaan.

Hadir sama ialah serombongan lebih 10 ahli Persatuan Bekas Guru-Guru Besar Sekolah-Sekolah Cina kawasan Kota Kinabalu yang turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM2,000 untuk tabung pembangunan SJK (C) Pai Wen.