Kebajikan keluarga pegawai bomba, Moh Jumat dibela

0

PKPJ serah sumbangan kepada balu pegawai bomba yang meninggal akibat kemalangan bot baru-baru ini

KUCHING: Kebajikan keluarga dan waris pegawai bomba, Moh Jumat, 48, yang meninggal akibat kemalangan bot di Kampung Buntal baru-baru ini terus dibela apabila Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) turut menyampaikan sumbangan.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, yang juga isteri Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Juma’ani berkata masyarakat seharusnya lebih prihatin tentang kebajikan anggota keselamatan awam yang saban waktu mempertaruhkan nyawa mereka demi kesejahteraan masyarakat.

“Saya sebagai ibu dan isteri memahami perasaan isteri anggota keselamatan awam ini, saya menyeru kepada seluruh masyarakat bahawa ingatlah, anggota ini mempunyai anak dan isteri,” katanya pada upacara ringkas penyampaian sumbangan kepada keluarga mangsa di sini, semalam.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Moh, Kismawati Bohari  di kediaman mereka dengan menghulurkan bantuan segera RM1,000 bagi mengurangkan beban ibu kepada dua anak itu.

Kismawati yang terharu dengan bantuan tersebut, mengucapkan terima kasih kepada PKPJ yang tampil menghulurkan bantuan kepadanya dan anak-anak.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Kuching Mashidi Taha yang turut hadir memberitahu, Allahyraham  telah bekerja lebih kurang 25 tahun dengan jabatan bomba dan penyelamat dan akan mendapat pencen.

Beliau juga menyifatkan Allahyraham sebagai seorang pegawai yang ramah dan berdisiplin.

Sementara itu Juma’ani memberitahu bahawa usaha sebegini bukannya pertama kali diadakan oleh PKPJ.

Menurut beliau, PKPJ telah menyalurkan sumbangan kerusi roda khas kepada anak seorang angota polis dan sumbangan kepada beberapa perwira Lahad Datu serta balu DSP Michael Padel Jabah Mingku bagi meringankan bebanan selepas suaminya terkorban sewaktu mempertahankan negara di Lahad Datu.

Dalam perkembangan lain, Juma’ani turut memberitahu bahawa PKPJ akan menyampaikan sagu hati kepada anak-anak anggota keselamatan awam yang cemerlang dalam bidang akademik dan anak-anak yatim anggota keselamatan sewaktu aktiviti PKPJ yang akan diadakan di Hotel Hilton tidak lama lagi.

Tambah beliau lagi, sumbangan ihsan berupa wang tunai dan keperluan harian juga disumbangkan kepada mangsa-mangsa bencana banjir yang melanda Kuching baru-baru ini dan rumah-rumah kebakaran yang telah berlaku di beberapa kawasan di Petra Jaya.

Menurut beliau, PKPJ turut menganjur beberapa bangkel kebajikan dan memperuntukkan sejumlah dana untuk pemuliharan rumah-rumah ibadah.

Hadir sama Setiausaha PKPJ Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Ahli Jawatankuasa Siti Shorgayah Zaidin yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.