Larian amal malam ambang sambutan Hari Malaysia, 16 Sept

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Bulatan Park Runners Club menganjurkan aktiviti larian amal pada malam ambang sambutan Hari Malaysia, pada 15 September depan di Marina Park di sini.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai memberitahu aktiviti adalah julung kali dianjurkan mensasarkan penyertaan seramai 2,000 orang.

“Hasil kutipan dari aktiviti ini kita akan dermakan kepada Pusat Dialisis Buah Pinggang Miri,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Lawrence berkata, selain amal aktiviti turut mempromosi gaya hidup sihat dan meraikan bersama Hari Malaysia pada 16 September.

Yuran RM50 dikenakan untuk setiap peserta yang turut diberi baju T dan pingat daripada penganjur.

“Kanak-kanak juga dibenarkan menyertai larian ini tetapi harus ditemani bersama ibu bapa dan penjaga. Penyertaan juga terbuka kepada pelancong,” tambah Lawrence.

Peserta akan dilepaskan jam 10.30 malam dan tempoh selama satu jam diperlukan untuk menghabiskan larian sejauh lima kilometer itu.

Borang akan siap dicetak dan diedarkan bermula minggu ini dan tarikh tutup penyertaan pada 17 Ogos ini.

Program malam itu diteruskan dengan sambutan Ambang Hari Malaysia bermula jam 11 malam.