Penganggur diberkas disyaki terlibat dadah

0

MIRI: Seorang penganggur disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya diberkas polis pagi semalam.

Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil serbuan polis ke sebuah rumah yang terletak di Tudan Fasa 2A di sini.

Berikutan itu, suspek yang berusia 29 tahun dibawa  ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat sepasukan polis BSJND Miri diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman melakukan serbuan ke sebuah rumah yang terletak di Tudan Fasa 2A di sini.

Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 11 pagi itu, polis telah menahan seorang lelaki di sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Semasa diperiksa, suspek menyerahkan satu peket plastik kecil mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu dengan berat kasar 0.18 gram.

Barang disyaki dadah itu dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.

Berikutan itu, suspek ditangkap bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2)  dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki memiliki dan mengambil dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sementara dalam satu kes berasingan, seorang remaja lelaki disyaki penagih dadah turut diberkas polis pagi semalam.

Suspek berusia 18 tahun diberkas hasil pemeriksaan polis di sebuah rumah di Tudan Desaras Fasa 6, di sini sekitar jam 10.45 pagi.

Suspek didapati positif dadah jenis amphetamine kemudian ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan Miri untuk tindakan lanjut.