Pengetua dan kerajaan mesti bergerak seiring

0

Pengetua diajak bersama kerajaan laksana dasar digubal demi kepentingan rakyat, masa depan negara

Oleh Jessica Jawing //

RASMI: Fatimah yang mewakili Adenan bersama Rakayah (kanan), Talib (kiri), Gramong (dua kiri) dan Ibrahim (tiga kiri) menekan butang sebagai simbolik perasmian persidangan, semalam.

RASMI: Fatimah yang mewakili Adenan bersama Rakayah (kanan), Talib (kiri), Gramong (dua kiri) dan Ibrahim (tiga kiri) menekan butang sebagai simbolik perasmian persidangan, semalam.

KUCHING: Pengetua sekolah diajak bersama  kerajaan melaksana segala dasar yang digubal demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pengetua dan kerajaan mesti berdiri di saf yang sama, di atas satu hasrat dan landasan sama iaitu membawa negara ke mercu kegemilangan.

“Seperti pihak lain, pengetua juga kadangkala mempunyai pendapat dan pendirian peribadi terhadap sebarang dasar dan tindakan kerajaan.

“Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa pengetua sebagai pelaksana dasar, perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam melaksanakan dasar yang digubal demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah sempena perasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) Ke-50 2015 di sini, semalam.

Tambah Adenan, dalam menghadapi era globalisasi yang semakin kompetitif, para pengetua perlu menggembleng tenaga dan pemikiran untuk membina semula ciri-ciri pengurusan dan penampilan sebagai organisasi profesional.

Katanya ia sejajar dengan trend pengurusan masa kini yang memberi keutamaan kepada kepimpinan dan pengurusan sumber manusia yang berpaksikan kepada nilai-nilai pembaharuan dan kepantasan.

“Pada hemat saya, dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, kepimpinan pendidikan perlu menekankan pentingnya penyesuaian dibuat sebagai respons kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat.

“Kepimpinan pendidikan perlu mempunyai keupayaan melakukan perubahan sosial yang membina, dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani sebarang isu dan permasalahan,” tegasnya.

Mengenai persidangan yang diadakan, Adenan berharap semua pemimpin sekolah dapat berkongsi segala pengalaman dan kemahiran yang ada.

Beliau turut berharap pihak pemimpin sekolah turut tidak ketinggalan dalam dunia teknologi yang lebih produktif untuk melahirkan modal insan yang berkualiti agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi.

Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon dalam ucapannya berkata, melalui persidangan berkenaan pengetua akan didedahkan dengan pengurusan pendidikan terkini dan perkembangan semasa pendidikan di Malaysia khasnya dan dunia amnya.

Persidangan kata beliau, menjadi wadah kepada pengetua dari seluruh negeri untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman untuk dimanfaatkan sebagai pemimpin unggul di sekolah.

“Kita berharap pengetua sebagai pemimpin instruksional di sekolah dapat membantu dalam melonjak pendidikan negara ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Hadir sama dua Menteri Pelancongan Datuk Gramong Juna dan Datuk Talib Zulpilip serta Naib Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ibrahim Jamain.