Piala Datuk Amar Abang Johari 2015 diawalkan kepada 5 Ogos

0

KUCHING: Kempen Piala Datuk Amar Abang Johari 2015 yang dijadual bermula pada 5 September diawalkan kepada 5 Ogos depan.

Pengerusi Kejohanan, Fazzruddin Abdul Rahman berkata perubahan jadual itu dilakukan berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Setelah berbincang dengan jawatankuasa penganjur dan melihat kepada jadual kejohanan-kejohanan lain seperti Liga Juara-Juara, Liga Rakyat dan faktor kekosongan padang, kami mengambil keputusan untuk mengawalkan jadual Kejohanan Piala Datuk Amar Abang Johari 2015.

“Kita telah memaklumkan kepada semua pasukan yang terlibat dan akan menghantar surat rasmi kepada mereka selepas ini,” kata Fazzruddin ketika ditemui di sini kelmarin.

Menurutnya, pihak penganjur turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Kejohanan Piala Datuk Amar Abang Johari 2015 bakal menyaksikan lapan pasukan bersaing bagi memburu kejuaraan iaitu FC Brooke, KKR Axis, JPAM SJN FC, Petra Giant, DBKU, Riaz FC, I.E.M FC dan Demak Laut FC.

Aksi pembuka tirai pada 5 Ogos nanti bakal mempertemukan juara K-league iM, FC Brooke dan Demak Laut manakala JPAM akan menentang Riaz pada 12 Ogos.

KKR Axis diundi menentang I.E.M pada 15 Ogos dan DBKU berdepan Petra Giant pada 16 Ogos.

Pasukan yang menang akan bersaing dalam peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos.

Semua perlawanan bermula jam 4 petang di Padang C di sini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan KKR Axis, Ahmad Zaki Zaidi berkata skuadnya sudah bersedia untuk memberikan saingan bagi memburu kejuaraan pada kempen Piala Datuk Amar Abang Johari 2015.

Bagi memantapkan persediaan anak-anak buahnya, KKR Axis akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad senior Sarawak pada malam ini di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Menurutnya, beliau berharap pemain akan memanfaatkan peluang itu untuk mengembalikan semula tahap kecergasan sebelum menghadapi kejohanan sebenar nanti.